Tuah Empat Pengunjung SKS Kuching, Bawa Pulang Kereta Baharu
KUCHING: Kunjungan ke Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Kuching menjadi kenangan manis buat empat pengunjung apabila masing-masing bertuah membawa pulang sebuah kereta baharu menerusi cabutan e-peraduan sempena program berkenaan.
Mereka ialah Bermas Enjing @ Jatan, Nur Syahidah Jaffarudin, Martuty Oerip Marsono dan Rozanariah Sulaiman yang diumumkan sebagai pemenang hadiah utama melibatkan kereta Perodua Bezza, Proton Saga serta Proton e.MAS PHEV.
Penyampaian hadiah kepada keempat-empat pemenang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof selepas majlis perasmian program berkenaan di Metrocity, Matang, di sini pada Rabu.
Cabutan e-peraduan itu menjadi antara tarikan utama yang menyemarakkan lagi kemeriahan SKS Bahagian Kuching dengan pelbagai hadiah menarik ditawarkan kepada pengunjung.
Selain menawarkan peluang memenangi hadiah, program berkenaan turut mengetengahkan pelbagai pengisian termasuk pameran pembangunan, kaunter perkhidmatan kerajaan serta aktiviti komuniti.
Penganjuran program itu bukan sahaja menceriakan masyarakat, malah menjadi wadah untuk mendekatkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat. –EDISI UKAS
Disediakan oleh: Mia Amira Jalil
Foto: Shahril Haqim, Asyafiee & George S.Embie