Lawatan Tapak Perhalusi Kesiapsiagaan Venue Sukan SEA Malaysia 2027 Kluster Sarawak
KUCHING: Kesiapsiagaan venue, aspek keselamatan, hospitaliti serta penyelarasan keperluan operasi menjadi antara tumpuan lawatan tapak bagi persiapan Sukan SEA Ke-34 Malaysia 2027, Kluster Sarawak di Megalanes Sarawak, Batu Kawa dan Imperial Hotel, Kuching, pada Rabu.
Lawatan hari kedua bersama Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Malaysia 2027 (MASOC) dan Sekretariat Kluster Sarawak itu di Megalanes Sarawak merangkumi taklimat yang disampaikan oleh Pengurus Pertandingan, Mohd Fazreen Fadzuan Mohamad Den, selain perbincangan mengenai susun atur venue, penyediaan kawasan pemanasan atlet, kemudahan capaian internet bagi petugas media, kapasiti 240 tempat duduk penonton, kawasan penyampaian hadiah serta aspek keselamatan dan hospitaliti.
Perbincangan turut meneliti keperluan kemudahan dan aspek teknikal venue bagi memastikan pengurusan pertandingan, pergerakan atlet, penonton serta pihak berkepentingan dapat diselaraskan dengan baik sepanjang temasya berlangsung.
Venue tenpin boling berkenaan dijangka menempatkan 22 acara pertandingan, sekali gus memerlukan perancangan rapi dari segi kemudahan, pengurusan pertandingan dan kesiapsiagaan operasi bagi memenuhi keperluan penganjuran.
Ketua Persediaan Venue, Operasi Sukan dan Pengalaman Pihak Berkepentingan, Sekretariat Jawatankuasa Penganjur Tempatan (LOC) Kluster Sarawak, Abdul Rani Abdullah merupakan antara pegawai yang terlibat dalam penyelarasan lawatan berkenaan, yang berlangsung dari 24 November hingga 3 Disember 2026 dan melibatkan semua pengurus sukan.
Turut terlibat ialah Pengurus Sukan Tenpin Boling, Robert Lu Nam Min dan Pengurus Sukan E-sukan, Syed Afif Hakimi Tengku Abdillah.
Lawatan pada sebelah petang diteruskan di Imperial Hotel, venue pertandingan e-sukan dengan melibatkan tinjauan lokasi, taklimat jawatankuasa dan teknikal serta perbincangan mengenai penyusunan keperluan ruang kerja bagi setiap jawatankuasa.
Siri lawatan tapak tersebut bermula pada Selasa dengan peninjauan venue lawn bowls, menembak dan wushu, sebelum diteruskan pada Rabu melibatkan venue tenpin boling dan e-sukan.
Lawatan tapak itu turut disertai ahli-ahli jawatankuasa daripada Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MySED), Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), MIPD, MUT, M-FICORD, SMA, UKAS, SMG, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Kesihatan, UKPS, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Agensi Antidoping Malaysia (ADAMAS).-EDISI UKAS