JMS Bawa Warisan Sarawak Ke Pentas Dunia, Sertai ICOMOS 2026
KUCHING: Jabatan Muzium Sarawak (JMS) bakal membawa kekayaan sejarah dan warisan budaya negeri ke pentas antarabangsa menerusi penyertaan dalam Perhimpunan Agung dan Simposium Saintifik Majlis Antarabangsa Mengenai Monumen dan Tapak (ICOMOS) ke-22 pada Oktober depan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, perhimpunan yang berlangsung dari 17 hingga 24 Oktober itu menghimpunkan lebih 1,500 pakar dan penggubal dasar warisan dari 110 negara.
Menurut beliau, penyertaan JMS dalam perhimpunan bertaraf dunia berkenaan menjadi platform penting untuk mempromosikan kekayaan warisan budaya Sarawak kepada komuniti antarabangsa.
“Perhimpunan bertaraf dunia yang menghimpunkan lebih 1,500 pakar dan penggubal dasar warisan dari 110 negara ini menjadi platform terbaik mempromosikan warisan budaya Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Malam Apresiasi Jabatan Muzium Sarawak 2026, di sini pada Ahad.
Tambahnya lagi, JMS turut mengambil peluang memperkenalkan keunikan warisan Sarawak menerusi empat program khas yang dianjurkan sempena persidangan tersebut.
Katanya, program berkenaan ialah Night at the Museum: Sarawak Authentic Gastronomy, Sarawak Museum Talk, Sarawak Museum Heritage Walk serta khidmat Tour Guides di tapak-tapak warisan.
“Inisiatif ini akan mengetengahkan keunikan kulinari, sejarah, serta seni budaya tempatan kepada pengunjung antarabangsa,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Dato Sri Abdul Karim memberitahu JMS turut memperkukuh usaha memelihara dan mempromosikan warisan negeri menerusi pelbagai program pendidikan, promosi dan libat urus komuniti.
Antaranya termasuk Program Kembara Jelajah Kubu: Meneroka Warisan dan Sejarah yang memberi pendedahan sejarah kepada generasi muda dan masyarakat setempat di sekitar Kubu Alice di Sri Aman, Kubu Lily di Betong, Kubu Brooke di Julau serta Kubu Emma di Kanowit.
Program tersebut akan membuka tirai di Kubu Lily, Betong sempena acara Sarawakku Sayang dari 25 hingga 27 September ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Snowdan Lawan, Ahli Dewan Negara Senator Dato Ahmad Ibrahim dan Pengarah JMS Anielia Siam. -EDISI UKAS