30,000 Pengunjung Meriahkan Pesta Limbang 2026, Rancakkan Ekonomi Setempat
LIMBANG: Kehadiran kira-kira 30,000 pengunjung sepanjang lima hari penganjuran Pesta Limbang 2026 membuktikan sambutan luar biasa terhadap acara berkenaan sekali gus merancakkan ekonomi setempat.
Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah berkata, jumlah kehadiran tersebut mencerminkan kejayaan penganjuran semula pesta berkenaan selepas hampir sedekad tidak diadakan.
“Alhamdulillah, selepas sembilan tahun tidak diadakan, kita akhirnya dapat kembali menganjurkan Pesta Limbang yang bukan sahaja menghidupkan semula tradisi, malah menyatukan masyarakat dari pelbagai kawasan,” katanya semasa berucap pada Majlis Penangguhan Pesta Limbang 2026 pada Ahad.
Menurutnya, selain kehadiran pengunjung yang memberangsangkan, hasil jualan peniaga sepanjang pesta tersebut turut dianggarkan mencecah hampir RM1 juta.
“Ini jelas menunjukkan impak besar kepada peniaga kecil dan usahawan tempatan yang turut sama menjayakan pesta ini,” jelasnya.
Tambah beliau, pelbagai acara sukan air seperti perlumbaan perahu bidar dan bot naga mendapat sambutan menggalakkan, sekali gus memperkukuh potensi Limbang sebagai lokasi sukan air di wilayah utara Sarawak.
Dalam pada itu, beliau berharap Pesta Limbang dapat dimasukkan sebagai salah satu acara dalam kalendar pelancongan rasmi Sarawak.
“Sekiranya diiktiraf sebagai acara pelancongan rasmi, saya yakin pesta ini akan terus berkembang dan mendapat sokongan berterusan daripada Kerajaan Negeri Sarawak,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau turut mencadangkan agar Teluk Brunei dijadikan lokasi penganjuran sukan air bertaraf antarabangsa melalui inisiatif seperti “Brunei Bay Sports Challenge”.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sukan air di Sarawak, Sabah dan Brunei bekerjasama bagi merealisasikan penganjuran tersebut pada masa hadapan.
Hadir sama Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap ADUN Bukit Kota Limbang, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang serta isteri, Datin Mary Sindang, Pegawai Daerah Limbang, Sulaiman Engal, Pengerusi Majlis Daerah Limbang, Kaunselor Sufian Mohat, Setiausaha Majlis Daerah Limbang, Michelle Hildayne Jering Anthony Luta, Ketua Polis Daerah Limbang, Supt. Parum Niot dan Pegawai Pertanian Bahagian Limbang, Dr Jakaria Ramli.-EDISI UKAS