Program K2AS Perkasa Keselamatan, Kesihatan & Kesejahteraan Komuniti
LUBOK ANTU: Kerjasama antara agensi kerajaan, pemimpin masyarakat dan penduduk terus diperkukuh bagi membudayakan amalan hidup selamat, sihat dan bersih di daerah Lubok Antu.
Pegawai Daerah Lubok Antu merangkap Pengerusi Majlis Daerah Lubok Antu (MDLA), Akoi Ejau berkata, penglibatan aktif masyarakat penting dalam mencegah kebakaran, penularan penyakit serta pencemaran alam sekitar.
Beliau turut menyeru ketua masyarakat dan tuai rumah supaya meningkatkan kesedaran penduduk, khususnya penghuni rumah panjang, mengenai keselamatan penggunaan peralatan elektrik dan langkah pencegahan kebakaran.
Katanya, penjagaan kebersihan persekitaran juga perlu diberi perhatian bagi mencegah penularan demam denggi, selain mengelakkan pembakaran terbuka yang boleh menyebabkan jerebu.
Beliau berkata demikian dalam Program One Health Promotion 2026 menerusi inisiatif Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (K2AS) di Dewan Kompleks Sukan Lubok Antu pada Selasa.
Program anjuran MDLA dengan kerjasama Pejabat Bomba Zon 3 Sarawak itu disertai 120 peserta.
Sementara itu, Wakil Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Timbalan Penguasa Bomba Melvin Amut berkata, sebanyak lapan kes kebakaran berjaya dipadamkan oleh komuniti, sekali gus menyelamatkan harta benda dianggarkan bernilai RM700,000.
Menurutnya, pencapaian itu membuktikan kepentingan pengetahuan dan tindakan pantas masyarakat dalam mengurangkan risiko kebakaran.-EDISI UKAS