Kek Lapis Sarawak Berpotensi Tembusi Pasaran Eropah
MIRI: Produk ikonik, Kek lapis Sarawak berpotensi menembusi pasaran Eropah menerusi penyertaan IANA Corporation Sdn. Bhd. dari Miri dalam pameran perdagangan makanan dan minuman antarabangsa SIAL Paris 2026.
Wakil syarikat, Mohammad Hafidz Rohani, berkata penyertaan kali pertama mereka di pameran berlangsung dari 17 Oktober hingga 21 Oktober di Paris itu membuka peluang untuk memperkenalkan produk tempatan kepada pasaran lebih luas serta meneroka potensi kerjasama eksport.
“Maklum balas positif yang diterima terhadap produk yang dipamerkan memberi dorongan kepada kami untuk terus memperkukuh usaha menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemuramah di tapak pameran tersebut baru-baru ini.
Selain kek lapis Sarawak, syarikat itu katanya turut mengetengahkan biskut dan minuman segera dalam pameran berkenaan.
IANA Corporation merupakan antara 10 usahawan di bawah program Gate to Global (GTG) Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang menyertai SIAL Paris 2026, menghimpunkan kira-kira 8,000 pempamer dari 130 negara.
Penyertaan itu turut membuka ruang kepada produk tempatan untuk memperluas pasaran eksport, sekali gus menyokong aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) Sarawak dalam memperkukuh keusahawanan, melahirkan usahawan negeri yang berdaya saing serta merancakkan pertumbuhan ekonomi berorientasikan eksport.-EDISI UKAS