Kerjasama Erat Perkukuh Penyampaian Kemudahan Asas Kepada Rakyat
KUCHING: Kerjasama erat antara Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) dengan jabatan serta agensi pelaksana terus diperkukuh bagi memastikan penyediaan kemudahan asas, khususnya bekalan air, elektrik dan telekomunikasi, dapat memenuhi keperluan rakyat di seluruh Sarawak.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, keperluan rakyat yang semakin meningkat menuntut komitmen berterusan serta penyelarasan berkesan antara semua pihak bagi memastikan projek pembangunan dapat dilaksanakan dengan lancar.
“Penduduk kita semakin dinamik dari segi permintaan terhadap kemudahan asas, bukan sahaja air dan bekalan elektrik, tetapi juga kemudahan komunikasi dan internet,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Penghargaan sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 anjuran MUT di sini pada malam Selasa.
Beliau menambah, keluasan Sarawak serta cabaran geografi dan logistik memerlukan perancangan teliti, penyelarasan berkesan dan kerjasama berpasukan bagi memastikan pelaksanaan projek utiliti serta telekomunikasi mencapai matlamat ditetapkan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa komitmen warga kementerian, jabatan dan agensi pelaksana memainkan peranan penting dalam memperkukuh kecekapan penyampaian perkhidmatan, khususnya kepada masyarakat di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Dato Sri Julaihi turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kerja MUT dan agensi berkaitan atas dedikasi serta komitmen mereka dalam memastikan agenda pembangunan kemudahan asas negeri terus menunjukkan kemajuan.
“Terima kasih semua kerana kerjasama ini yang dapat menggerakkan kementerian dan agensi ke hadapan sehingga kita dapat melihat kemajuan.
“Kita berada di landasan yang betul hasil kerjasama penuh anda semua,” katanya.
Turut hadir Timbalan Menteri Utiliti (Telekomunikasi) Sarawak, Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan PETROS), Datuk Ibrahim Baki, ketua-ketua jabatan, wakil agensi serta warga MUT.-Edisi UKAS