ADUN Tarat Serah Sumbangan Tambahan Pembersih Tangan Dan Pelitup Muka

KHAMIS, 29 APRIL 2021

SERIAN: Prihatin dengan keperluan rakyat, Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn sekali lagi turun padang bagi menyerahkan sumbangan pembersih tangan dan pelitup muka.

Datuk Roland Sagah yang juga yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat memberitahu, sumbangan daripada Persatuan Bulan Sabit Merah Kuching dan sumbangan tambahan daripada beliau diserahkan kepada penduduk di kawasan Pala Baki.

“Kita mengagihkan pembersih tangan dan juga pelitup muka kepada penduduk di kawasan Pala Baki dan ini menunjukkan keprihatinan kepada rakyat kita,” katanya semasa berucap dalam majlis penyerahan itu pada Khamis.

Sumbangan tersebut telah diserahkan secara simbolik kepada Kapitan Wendy Low Nay Chyn di Bilik Gerakan JKKK Kawasan Pala Baki, Batu 32 Jalan Kuching-Serian.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru penduduk untuk sentiasa peka dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) lebih-lebih lagi dalam keadaan wabak COVID-19 masih menular dalam kalangan rakyat khususnya di negeri ini.-EDISI UKAS