SABERKAS Cawangan DUN Kakus Agih Bubur Lambuk Secara Pandu Lalu

JUMAAT, 30 APRIL 2021

TATAU: Mengambil kira kebimbangan penularan wabak pandemik COVID-19 yang berlaku ketika ini, Pertubuhan Belia Kebangsaan Sarawak (SABERKAS) Cawangan Kakus telah mengadakan agihan bubur lambuk secara pandu lalu di pekarangan Masjid Darul Ibadah, Tatau pada Selasa. 

Sebanyak 200 pek bubur lambuk telah disedia dan diagihkan kepada penduduk kampung, agensi kerajaan dan petugas barisan hadapan yang sedang bertugas. 

Menurut Pengerusi SABERKAS Daerah Tatau Mohammad Rizal, agihan bubur lambuk SABERKAS ini merupakan program tahunan SABERKAS DUN Kakus sempena bulan Ramadan dan diadakan di seluruh Sarawak. 

“Pada tahun ini konsepnya berbeza berbanding sebelumnya  dengan menggunakan kaedah pandu lalu sebagai memenuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan bagi mengekang penularan wabak COVID-19,” katanya ketika ditemui selepas mengagihkan bubur lambuk. 

Turut sama hadir Ketua Wanita PBB Cawangan Kakus yang juga ahli SABERKAS Rohana Abdullah, Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kakus SAO Long Jok, Pegawai Penerangan Daerah Tatau Donny Minggu Ling dan Ketua Balai Bomba Daerah Tatau Jankey Jikat. -EDISI UKAS