Universiti Teknologi Sarawak Lakar Sejarah Universiti Milik Penuh Kerajaan Sarawak

RABU, 10 NOVEMBER 2021

SIBU: Sarawak menempa sejarah dengan penganugerahan status universiti penuh kepada University College of Technology Sarawak (UCTS) yang kini dikenali sebagai Universiti Teknologi Sarawak (UTS).

Ketua Menteri Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, status itu yang telah berkuatkuasa pada 8 November 2021 merupakan pencapaian utama kepada pendidikan tinggi di Sarawak.

“Hari ini sudah tentunya menjadi hari yang bersejarah bukan sahaja untuk UTS tetapi juga untuk nengeri kita Sarawak.

“Penaiktarafan UCTS sebagai status universiti penuh merupakan pencapaian utama bagi pendidikan tinggi di Sarawak.

“UTS adalah satu-satunya universiti dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan negeri Sarawak,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran UTS di Sibu pada Rabu.

Ketua Menteri menambah, pengiktirafan tersebut merupakan bukti dan menunjukkan komitmen yang tinggi Kerajaan Sarawak dalam menyalurkan pembiayaan pendidikan, khususnya sokongan dari segi operasi dan kewangan universiti.

Jelasnya, UTS merupakan sebuah institusi yang memberi fokus kepada penyelidikan dan inovasi dalam pembangunan masyarakat untuk menerajui Sarawak sebagai negeri yang majupada 2030 dan pendigitalan di Sarawak.

“UTS akan membantu menyediakan Sarawak untuk melahirkan graduan bagi ekonomi digital masa depan yang berdaya saing dengan melahirkan generasi celik teknologi dan digital.

“Modal insan generasi baharu pada masa kini yang berkualiti, berkemahiran dan berbakat akan memacu negeri ke tahap yang lebih tinggi,” tambahnya.

Sementara itu dalam sidang media, Ketua Menteri menjelaskan Kerajaan Sarawak akan menyediakan beberapa insentif kepada pelajar yang melanjutkan pengajian di UTS.

Antaranya adalah UTS Foundation Scholarship yang diberikan dalam bentuk yuran pengajian RM10,000 kepada setiap pelajar yang berjumlah antara RM4.5 juta hingga RM 7 juta setahun dan UTS Undergraduate and Postgraduate Scholarship dengan pengurangan 50 peratus yuran pengajian dengan sumbangan sebanyak RM17.2 juta hingga RM27 juta setahun.

Selain itu, jelas beliau, UTS Bursary Scheme turut diperkenalkan untuk warga Sarawak kategori B40 dan M40 untuk membantu pengurangan 80 peratus yuran pengajian dan diberikan kepada masing-masing 100 pelajar Bumiputera dan bukan Bumiputera yang melibatkan RM3 juta setahun.

“Kita juga memberi ruang kepada pelajar kita yang kurang bernasib baik kerana kos untuk mendapat pengajian seperti ini adalah tinggi.

“Jadi dengan itu Kerajaan Sarawak telah memperkenalkan insentif dan biasiswa ini kerana UTS adalah milik Sarawak,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ketua Menteri menambah, Kursi Penyelidikan UTS akan diwujudkan sempena nama Datuk Patinggi Dr Wong Soon Kai bagi tujuan penyelidikan khususnya berkaitan teknologi.

Namun jelasnya, ia belum mendapat persetujuan daripada keluarga Datuk Patinggi Dr Wong Soon Kai bagi tujuan tersebut. -EDISI UKAS