JUMAAT, 15 JULAI 2022

MIRI: Seramai 185 orang pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak dianugerahkan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) dalam siri kedua majlis penganugerahan di sini pada Khamis.

Timbalan Ketua Polis Negara ,Tan Sri Razarudin Husain berkata, jumlah itu menjadikan seramai 832 orang telah menerima pingat berkenaan, manakala baki 87 orang masih belum menerimanya.

Menurutnya, siri pertama istiadat penganugerahan pingat sama telah berlangsung pada 19 April lepas, namun ia hanya melibatkan pegawai dan anggota yang masih berkhidmat.

“Para penerima anugerah bagi siri kedua ini turut melibatkan pesara dan bekas polis era darurat termasuk mereka yang berkhidmat bersama Special Constable, Home Guard, Auxiliary Police, Extra Police Constable, Border Scout, Jungle Squad, Police Field Force Reservist dan Sarawak Constable,” katanya.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Pengarah Jabatan Pengurusan PDRM Datuk Zaini Jass, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Shmad Sapri dan Timbalannya Datuk Mancha Ata.

Pingat berkenaan dianugerahkan bagi menghargai jasa mereka kepada negara semasa era darurat iaitu dalam perkhidmatan Persekutuan Tanah Melayu bagi tempoh 12 Julai 1948 hingga 21 Julai 1960 dan era insurgensi komunis di Sarawak di antara tahun 1962 hingga 17 Oktober 1990. -EDISI UKAS

add comment