SELASA, 19 JULAI 2022

TELANG USAN: Pejabat Residen Bahagian Miri telah mengadakan Program Randau Pembangunan Sosial di Rumah Panjang Long Bedian, Apoh pada 16 dan 17 Julai lepas. 

Program ini merupakan Program Outreach Bersepadu yang berfokus kepada masyarakat luar bandar atau pedalaman daripada pelbagai peringkat umur dengan kerjasama pihak berkepentingan dan rakan-rakan strategik yang berkaitan.

Sebanyak 39 buah agensi kerajaan dan swasta telah mengambil bahagian dalam program kali ini yang menekan aspek pendidikan, kesedaran, pencegahan dan penyelesaian isu-isu sosial dalam masyarakat.

Turut diadakan pameran, saringan kesihatan, aktiviti kemasyarakatan, riadah dan lain-lain yang berunsurkan pengajaran dan pembelajaran sesuai dengan keperluan masyarakat setempat.

Majlis perasmian penangguhan telah disempurnakan Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Mohamad Razi Sitam pada Ahad. 

Kira-kira 300 peserta daripada kalangan penghuni rumah panjang, penduduk kampung, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan persatuan hadir memeriahkan program randau itu. 

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau, Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohamad Yusuf, Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga (LPPKN) Abdul Shukur Abdullah, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak Noriah Ahmad, Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga (LPPKN) Shariah Saharom-EDISI UKAS

add comment