SABTU, 26 NOVEMBER 2022

KUCHING: Suphatra Klingprom dari Thailand dinobatkan sebagai Miss Tourism International 2022/2023 di peringkat akhir pertandingan yang diadakan di Hotel Raia, Kuching di sini pada Jumaat. 

Jelitawan itu berjaya memikat hati para juri sekali gus menewaskan 39 peserta lain untuk menerima mahkota, selempang, trofi dan hadiah wang tunai RM10,000.

Laura Zabaleta (Vanezuela) memenangi Miss Tourism Queen Of The Year International, manakala Maria Angelica Pantaliano (Filipina) memenangi Miss Tourism Metropolitan International.

Crystal Huang Ruojia dari Singapura dinobatkan sebagai Miss Tourism Global, Alysa Cook (AS) merangkul gelaran Miss Tourism Cosmopolitan International manakala Abigail Curd dari New Zealand dinobatkan sebagai Dreamgirl of the Year International.

Dalam pada itu, Ratu Cantik Malaysia, Phoebe Ong Yi Hui, yang berjaya mencapai kedudukan 10 terbaik dinobatkan sebagai Duta Pelancongan Ratu Asia Tenggara.

Pertandingan edisi ke-25 pada tahun ini bertemakan ‘Mempromosikan Pelancongan, Budaya dan Persahabatan’ menyaksikan ratu cantik dari 40 negara bersaing untuk merebut berprestij itu.

Sebelum pertabalan ratu baharu, delegasi terlibat dalam lawatan promosi selama 16 hari ke beberapa tempat tarikan pelancong termasuk Bau dan Lundu.

Untuk makluman, selepas 28 tahun, Bandaraya Kuching sekali lagi diberi peluang menjadi tuan rumah Miss Tourism International setelah pertama kali dianjurkan di sini pada tahun 1994.

Pertandingan itu dicadangkan oleh Presiden Miss Tourism International, Tan Sri Danny Ooi bagi mewujudkan dan memupuk hubungan baharu di kalangan negara yang mengambil bahagian melalui pemahaman yang lebih dekat tentang budaya, adat dan tradisi negara satu sama lain.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Open berkata negeri ini mempunyai banyak tawaran dan sentiasa terbuka untuk membina hubungan baik dengan dunia, sama ada persahabatan antarabangsa, pertukaran budaya atau aktiviti berkaitan pelancongan.

“Acara ini membawa dunia ke Sarawak, pada masa yang sama mempromosikan pelancongan, budaya, dan persahabatan melalui siri aktiviti yang berlangsung selama 18 hari secara keseluruhan.

“Selepas dua tahun perintah kawalan pergerakan (MCO), negara kini perlahan-lahan kembali normal di mana kita boleh berinteraksi antara satu sama lain dengan lebih mudah dan lebih kerap, walaupun dengan semua langkah berjaga-jaga dan ukuran diambil kira,” katanya. 

Beliau berkata demikan dalam teks ucapan yang dibaca oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah. 

Katanya, selepas pembukaan perjalanan tempatan dan sempadan antarabangsa secara beransur-ansur, beliau menjangkakan lebih ramai pelancong dan pelawat ke Sarawak.

Ini katanya bukan sahaja memberi tumpuan kepada pelancongan konvensional, tetapi juga berusaha untuk mengembangkan aktiviti lain dalam membawa lebih ramai pelancong ke Sarawak. 

Turut hadir Timbalan Menteri Pelancongan, Industri, Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiee Yew dan Setiausaha Tetap, Kementerian Pelancongan, Industri, Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datu Hii Chang Kee. – EDISI UKAS

add comment