ISNIN, 16 JANUARI 2023

MUKAH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine turun padang pada Ahad meninjau Kerja-kerja Pembersihan Sungai di Sungai Kuala Lama – Sungai Mason, Kampung Kuala Lama Mukah.

Sungai tersebut tersumbat disebabkan longgokan kayu hanyut semasa fenomena air pasang penghujung tahun lepas yang menyebabkan laluan nelayan sungai terhalang dan ia merupakan kes kedua selepas dibersihkan kali pertama pada pertengahan November lepas.

Royston ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Mukah & Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kuala Lama yang telah mengadakan perbincangan Jumaat lepas untuk mencapai cara penyelesaian jangka masa panjang terhadap masalah ini.

Menurutnya, pihak JKKK telah membuat aduan masalah ini terus kepada beliau pada awal minggu lepas dan tindakan pantas daripada pihak Pejabat DID dalam minggu yang sama amatlah dihargai.

Tambah beliau, aduan melalui saluran yang betul seperti ini amat diharapkan untuk memudahkan semua pihak berkaitan mengambil tindakan sewajarnya.

Terdahulu, Royston meluangkan masa menghadiri Upacara Simbolik Menitik Mata Singa sempena perayaan Tahun Baharu Cina di Tua Pek Kong, Mukah anjuran Kelab Tarian Naga dan Singa Medan Setiaraja Mukah.

Kelab tersebut sangat aktif mempromosikan budaya kaum Cina terutama seni mempertahankan diri serta mempertahankan diri serta tarian naga dan singa.

Sebagai tanda sokongan, Royston menyumbang satu kostum singa kepada kelab berkenaan manakala tiga lagi kostum singa baru yang turut serta dalam upacara berkenaan disumbangkan oleh pemilik Shell Mukah Tiong Kheng S/B, New Lane Mukah dan sebuah syarikat tempatan yang beroperasi di Mukah.

Pada Sabtu pula, Royston menghadiri Majlis Apresiasi Bintang Kokurikulum (MABK) 2023 yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Three Rivers Mukah.

Menurut Royston, program ini diadakan bagi meningkatkan minat para pelajar dalam penglibatan aktif aktiviti di sekolah di samping dapat membina jalinan hubungan yang erat dan kerjasama yang baik di antara ibubapa, pelajar-pelajar, guru-guru dan agensi-agensi yang telah terlibat secara langsung dan tak langsung semasa aktiviti ini.

Pelbagai aktiviti menarik dilaksanakan termasuklah aktiviti Sukan Rakyat, Pemuafakatan Ibu Bapa dan Guru (Tingkatan 5), cabutan bertuah, Ekspo Kerjaya, dan acara kemuncak Majlis Apresiasi Bintang Kokurikulum (MABK) 2023. – EDISI UKAS

add comment