ISNIN, 17 APRIL 2023

MUKAH: Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak, Kampus Mukah buat julung kalinya menganjurkan Majlis Iftar Perdana bersama Tuan Yang Terutama, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib yang diadakan di perkarangan Surau Ibnu Khaldun kampus berkenaan pada Isnin.

Penganjuran majlis ini adalah sebahagian daripada acara yang telah dirancang sempena meraikan Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Jubli Emas UiTM Cawangan Sarawak dan bulan Ramadan sekali gus meraikannya dengan program mengimarah Surau Ibnu Khaldun.

Ia dianjurkan dengan kolaborasi bersama Astana Negeri Sarawak, Pejabat Residen Bahagian Mukah, Polis Diraja Malaysia, Pejabat Bomba dan Penyelamat, Jabatan Penerangan, Jabatan Kerja Raya serta Jabatan Pertanian.

Dianggarkan seramai 450 tetamu yang terdiri daripada warga kampus dan tetamu jemputan hadir memeriahkan program ini.

Antara yang hadir ialah Rektor UiTM Profesor Dato Dr. Jamil Hamali serta isteri Datin Marilyn Edna Perreau, Timbalan Menteri Di Pejabat Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop Datuk Abdullah Saidol, ADUN Tellian Royston Valentine dan Residen Bahagian Mukah Kueh Lei Poh.

Pengisian aktiviti antaranya penyerahan sumbangan kepada golongan kurang bernasib baik sama ada di kalangan pelajar mahupun masyarakat di sekitar Mukah, serahan zakat kepada pelajar UiTM Cawangan Sarawak, Kampus Mukah dan sumbangan kepada pelajar daripada Raghad Foundation.

Sumbangan disempurnakan oleh Tun Pehin Sri Abdul Taib serta Toh Puan Datuk Patinggi Raghad.

Majlis ini juga menyaksikan penyampaian sumbangan daripada pihak Astana Negeri kepada 50 asnaf dari sekitar kawasan Mukah, Balingian, Dalat, Igan dan Oya dengan jumlah keseluruhan bernilai RM12,500 manakala sumbangan kepada 50 pelajar UiTM Cawangan Sarawak dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM10,000.

Turut disampaikan sumbangan cek daripada pihak Majlis Islam Sarawak kepada wakil masjid dan surau di sekitar Bahagian Mukah berjumlah RM158,000 serta sumbangan daripada pihak Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Setia Raja Mukah kepada wakil masjid dan surau di sekitar Mukah dan Balingian berjumlah keseluruhan RM85,000. – EDISI UKAS

add comment