SELASA, 16 MEI 2023

KUCHING: Sarawak merupakan penjana tenaga boleh diperbaharui terbesar di Malaysia kerana kaya dengan sumber alam semula jadi.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Sarawak berada pada kedudukan yang baik untuk menarik pelaburan asing kerana memiliki potensi untuk menghasilkan tenaga hidroelektrik dan solar.

“Sekarang, kita merupakan penjana tenaga boleh diperbaharui terbesar di Malaysia.

“Sejurus dengan fokus terhadap kuasa hidro boleh diperbaharui yang diterajui oleh Sarawak Energy di bawah bidang kuasa Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, kita dapat memperkukuhkan sosio ekonomi dalam Sarawak dan menjadi pemangkin dalam Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak atau Sarawak Corridor of Renewable Energy (SCORE),” katanya semasa berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri anjuran Sarawak Energy Berhad bertempat di UCSI Hotel, Kuching pada Selasa.

Selain itu katanya, penggunaan tenaga boleh diperbaharui juga memberi manfaat ekonomi kepada negeri ini.

“Kita juga berusaha untuk merealisasikan projek saling hubung dengan Singapura.

“Ini adalah satu kerjasama yang akan mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai kuasa besar serantau bagi tenaga boleh diperbaharui serta menyokong peralihan tenaga di Sarawak dan menjadikan negeri ini sebagai satu destinasi pelaburan yang utama di Asia Tenggara,” ujar beliau.

Justeru tambah Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari, pencapaian penting ini membuktikan komitmen Sarawak dalam terus berinovasi dan mengutamakan tenaga moden untuk membawa kelebihan yang besar kepada komuniti rakyat di negeri ini khasnya.

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Professor Dr. Sim Kui Hian, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi, Timbalan-Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Liwan Lagang dan Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Dr. Hazland Abang Hipni dan Pengerusi Sarawak Energy Berhad (SEB) Datuk Amar Abdul Hamid Sepawi . – EDISI UKAS

add comment