KHAMIS, 26 MEI 2023

LANGKAWI: Syarikat pengeluar kereta ternama dari British, Rolls-Royce berminat untuk menjalinkan kerjasama dengan Sarawak dalam pembangunan Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF).

Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Hasbi Habibollah berkata, hasrat itu dinyatakan pihak Rolls-Royce kepadanya semasa perbincangan antara kedua pihak baru-baru ini.

Malah katanya, syarikat itu juga berhasrat untuk ke Sarawak untuk melihat sendiri penghasilan serta penggunaan SAF.

“Saya sendiri ada duduk berbincang dengan Rolls-Royce, mereka menaruh minat. Jadi mereka hendak melihat sendiri ke Sarawak proses pengeluaran SAF ini.

“Justeru saya akan berbincang dengan pihak kita di Sarawak khususnya Premier kita tentang perkembangan yang baik ini.

“Ada banyak yang menarik minat apabila Sarawak mengeluarkan SAF ini dan ia langkah ke hadapan untuk masa depan negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) semasa melawat pusat Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA ‘23) di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) pada Khamis.

Menurut Datuk Hasbi, walaupun harga SAF masih mahal ketika ini namun ia akan menurun selepas pengeluarannya diperluaskan kelak.

Katanya, penglibatan dalam industri SAF memperlihatkan Sarawak kini berada di hadapan dalam pembangunan tenaga hijau mampan selain menerajui dalam usaha untuk mengurangkan pelepasan karbon pada tahun 2050 seperti yang digariskan dalam Perjanjian Paris.

Terdahulu, Datuk Hasbi yang juga Ahli Parlimen Limbang berkata penganjuran LIMA kali ini adalah yang terbesar dalam sejarah penganjurannya di mana ia melibatkan kira-kira 525 pempamer dari 140 syarikat dari seluruh dunia.

Katanya, LIMA kali ini turut menampilkan kelainan di mana buat julung kalinya ia mempamerkan pelbagai teknologi dron untuk tatapan orang ramai.

“Inilah pertama kalinya teknologi drone dipamerkan dalam LIMA. Ia sesuatu yang baru.

“Selain itu, lebih 30 MoU (Memorandum Persefahaman) telah ditandatangani dengan syarikat luar negara, dalam negara dan sebagainya.

“Di samping itu, turut diadakan sidang kemuncak penerbangan, persidangan dan seminar,” katanya lagi.

LIMA 2023 yang merupakan edisi ke-16 penganjurannya berlangsung dari 23 Mei hingga 27 Mei.

Penganjuran LIMA ’23 membabitkan dua kementerian iaitu Kementerian Pertahanan (Industri Pertahanan Maritim dan Aerongkasa) dan Kementerian Pengangkutan (Industri Komersil Maritim dan Aeroangkasa).

Pameran kali ini disertai 119 pesawat yang menyertai pameran statik dan aerobatik, selain 40 kapal tentera laut dari dalam dan luar negara. – EDISI UKAS

add comment