SELASA, 20 JUN 2023

KUCHING: Usaha pendigitalan mampu memacu pengoperasian koperasi sekali gus membantu perniagaan masing-masing. 

Naib Pengerusi Eksekutif (Dasar dan Pembangunan) Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Amran Abdul Kadir memberitahu, koperasi harus mengadaptasi teknologi dan digitalisasi agar dapat meneruskan perniagaan dan mengharungi cabaran. 

“Koperasi perlu beralih daripada koperasi konvensional kepada adaptasi teknologi dan digitalisasi dalam penawaran produk dan perkhidmatan. 

“Ini kerana pemasaran melalui platform digital seperti Shopee, Lazada dan lain kini menjadi norma baharu dan ia amat penting dalam meneruskan perniagaan,” jelasnya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Seminar Pendigitalan Koperasi 2023 Peringkat Zon Sarawak di sini pada Selasa. 

Sementara itu, Amran berkata, hanya 10 koperasi di Sarawak mempunyai rantaian bekalan yang lengkap iaitu merangkumi aktiviti mendapatkan bahan mentah kepada memenuhi dan menghantar pesanan. 

Beliau menyeru semua koperasi di Sarawak untuk mencapai tahap ini supaya dapat memacu perniagaan masing-masing. 

Tambahnya, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Ewon Benedick telah melancarkan Pelan Tindakan Digitalisasi Koperasi pada 6 April 2023 bagi tahun 2021 hingga 2025 untuk meningkatkan keupayaan koperasi menjalankan perniagaan berasaskan teknologi. 

Dalam majlis sama, beliau juga melancarkan Program Dagang Produk dan Perkhidmatan Koperasi Atas Talian (e-DAPAT). 

Turut hadir ialah Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Sarawak Liew Luk Chim. -EDISI UKAS

add comment