SELASA, 16 JANUARI 2024

SIBU: Badang dari Zon Barat, Felix Tujang Ik Tuphia Tugang mencuri tumpuan di gelanggang angkat berat Dewan Melayu Melanau Sibu apabila merangkul dua pingat emas.

Felix yang beraksi dalam kategori lelaki bawah 67kg terlebih dahulu merangkul emas dalam acara ‘Snatch’ selepas melakukan angkatan seberat 85kg.

Hexeley Lenesteen Franklin Sadi mewakili Zon Utara meraih perak manakala Barnabas Langgi Berain menggondol gangsa.

Dalam acara ‘Clean & Jerk’, Felix sekali lagi menaiki podium apabila berjaya melakukan angkatan terberat 110kg untuk memastikan emas menjadi miliknya.

Perak dirangkul Hexeley Lenesteen (Zon Utara) dan gangsa milik rakan sepasukan Felix, David Dian Andrew (Zon Barat).

Sementara itu, Fideliz Bantin Dahlan menceriakan kem Zon Tengah apabila berjaya memenangi emas dalam acara ‘Clean & Jerk’ bagi kategori Tidak Melebihi 61kg Lelaki.

Angkatan seberat 89kg beliau cukup untuk memastikan emas menjadi miliknya sambil Alfando Gerry Mike dari Zon Utara di tempat kedua dan Fathier Jackrill Shirley dari Zon Tengah di tempat ketiga.

Usaha Fideliz untuk meraih emas kedua dalam acara ‘Snatch’ bagaimanapun tidak kesampaian apabila beliau sekadar memenangi perak selepas angkatannya kurang 1kg berbanding pemenang emas, Alfando Gerry yang melakukan angkatan seberat 73kg.

Manakala gangsa pula menjadi milik Fathier Jackrill.

Hadiah disampaikan oleh Residen Bahagian Sibu Datu Wong Hee Sieng.

Sementara itu, acara taekwondo yang berlangsung di Stadium Tertutup Sibu menyaksikan penguasaan Zon Selatan apabila memenangi dua pingat emas.

Emas pertama dimenangi dalam acara Inidvidu Lelaki (Poomsae) menerusi Fedealis Kom, perak digondol Anuwath juga dari Zon Selatan dan Shane Micheal dari Zon Utara meraih gangsa.

Zon Selatan menambah satu lagi koleksi emas dalam acara Lelaki Berpasukan Terbuka (Poomsae) menerusi gandingan Adam, Fredylester dan Jason.

Perak milik Zon Utara (Wisdom, Fernando, Jason) manakala gangsa dirangkul Anuwath, Fedealis dan Harry dari Zon Selatan.

Sementara itu, gandingan Marcus Ting dan Josephine Chin memastikan kilauan emas menjadi milik Zon Tengah dalam acara Pasangan Campuran Berpasukan (Poomsae).

Keduanya berjaya mengatasi pasangan Zon Selatan, Fedealis Kom dan Farah Nabilla serta pemenang gangsa, Anuwath dan Iris Nur Irdina. – EDISI UKAS

add comment