Hari Raya Aidilfitri Mempunyai Makna Istimewa Dalam Budaya Sarawak
KUCHING: Hari Raya Aidilfitri mempunyai makna yang istimewa dalam budaya Sarawak yang terkenal dengan masyarakat berbilang etnik dan agama.
Ia bukan sahaja perayaan keagamaan bagi umat Islam, tetapi juga menjadi simbol perpaduan, keterbukaan dan keharmonian antara kaum serta budaya di negeri ini.
Tidak cukup dengan itu, Aidilfitri merupakan masa untuk berkumpul dengan keluarga, saudara-mara, dan jiran, menjadikan ia satu peluang untuk memperbaiki hubungan serta membina semangat kebersamaan.
Malah, rumah terbuka Aidilfitri adalah tradisi unik yang menggalakkan interaksi antara masyarakat berlainan agama dan etnik, mencerminkan toleransi yang tinggi di Sarawak.
Perayaan ini juga menjadi satu medan untuk menunjukkan keunikan budaya Sarawak, di mana makanan tradisional seperti kek lapis, lemang dan kuih muih turut dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.
Aidilfitri, dalam konteks Sarawak, tidak hanya menjadi sebuah perayaan keagamaan tetapi juga lambang penyatuan yang memperkukuh hubungan antara rakyat negeri ini yang hidup bersama dalam keharmonian.
Imbas kembali, pada 1 Syawal lepas, umat Islam di seluruh negeri ini menyambut ketibaan 1 Syawal dengan penuh kesyukuran dan kemeriahan.
Solat sunat Aidilfitri menjadi acara utama pagi raya, di mana masjid dan surau dibanjiri jemaah seawal jam 7 pagi untuk melaungkan takbir bersama-sama sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri dan mendengar khutbah raya.
Tidak terkecuali, kakitangan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di seluruh wilayah turut menyambut hari yang penuh bermakna ini.
Tinjauan di Masjid Bandar Sri Aman baru-baru ini mendapati kira-kira 2,000 orang jemaah termasuk Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan menunaikan solat sunat Aidilfitri.
Manakala di Masjid Al Amin Beladin, Pusa turut meriah dengan kita-kira 650 orang jemaah menunaikan solat sunat Aidilfitri dan mendengar khutbah raya.
Sementara itu, kira-kira 196 orang jemaah turut menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Jabal An Nur, Kapit.
Di Masjid Darul Aman Sebangan pula, kira-kira 500 orang jemaah termasuk Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi juga menunaikan solat sunat Aidilfitri dan mendengar khutbah raya.
Manakala di Masjid Darulhana Patingan Kampung No.6, Satok seramai 600 orang jemaah hadir menunaikan solat sunat Aidilfitri.
Di seluruh negeri, suasana solat sunat Aidilfitri berlangsung dengan penuh harmoni, mencerminkan semangat perpaduan dan toleransi dalam masyarakat Sarawak yang berbilang kaum. -EDISI UKAS