KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh sektor pertanian negeri menerusi pelaksanaan Program Peruntukan Fasilitasi Pertanian (AFF) bagi meningkatkan pengeluaran hasil pertanian serta memperkasakan ekonomi komuniti luar bandar.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, program AFF yang dilaksanakan melalui Jabatan Pertanian Sarawak merupakan antara inisiatif penting kerajaan bagi membantu petani mendapatkan bantuan peralatan pertanian selain mengurangkan beban kos pengeluaran yang semakin meningkat akibat keadaan ekonomi semasa.
Beliau berkata, bantuan yang disalurkan bukan sahaja membantu meningkatkan hasil pengeluaran pertanian, malah mampu memperkukuh pendapatan isi rumah petani dan pekebun kecil di kawasan luar bandar.
“Kerajaan Sarawak sentiasa memberi perhatian terhadap pembangunan sektor pertanian kerana sektor ini memainkan peranan penting dalam menjamin keselamatan makanan negeri serta meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Input Pertanian AFF yang diadakan bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai, pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan Sarawak kini sedang bergerak ke arah pertanian moden selaras dengan Strategi Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang memberi penekanan terhadap jaminan bekalan makanan domestik dan pembangunan pertanian berskala komersial.
Tambah beliau, antara fokus utama kerajaan adalah meningkatkan tahap sara diri makanan negeri termasuk pengeluaran padi, ternakan dan tanaman kontan menerusi pembangunan kawasan pertanian berskala besar di beberapa lokasi strategik di Sarawak.
Sementara itu, ketika ditemui media, Datuk Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai memaklumkan kawasan Buntal dan sekitarnya mempunyai potensi besar dalam pembangunan tanaman tembikai kerana majoriti petani di kawasan tersebut telah lama mengusahakan tanaman berkenaan.
Menurut beliau, usaha akan dipergiatkan bagi meningkatkan mutu dan kualiti tembikai tempatan termasuk dari aspek rasa, ketahanan serta pemasaran supaya mampu menembusi pasaran antarabangsa seperti Singapura dan Hong Kong.
Beliau turut berharap kawasan Kampung Belawai Air, Kampung Rambungan dan kawasan sekitarnya mampu menjadi antara pengeluar utama tembikai di Sarawak melalui kerjasama erat bersama Jabatan Pertanian dan agensi berkaitan. -EDISI UKAS