Peruntukan RM1.5 Bilion Pacu Pembangunan Infrastruktur Di Bawah MiRRDA
TATAU: Agensi Pembangunan Wilayah Tengah Rajang atau Mid Rajang Regional Development Agency (MiRRDA) terus memperkukuh agenda pembangunan luar bandar menerusi peruntukan berjumlah RM1.5 bilion bagi melaksanakan pelbagai projek infrastruktur dan pembangunan ekonomi di kawasan tengah Sarawak.
Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta berkata pelaksanaan pembangunan di bawah MiRRDA melibatkan kawasan Parlimen Selangau dan Parlimen Kanowit merangkumi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kakus, Tamin, Ngemah dan Machan.
Menurut beliau, antara fokus utama pelaksanaan projek adalah menaik taraf jaringan jalan raya khususnya di kawasan Kakus dan Tamin bagi meningkatkan kemudahan perhubungan serta akses penduduk luar bandar.
“Pembangunan infrastruktur yang lebih baik amat penting bagi memastikan rakyat luar bandar dapat menikmati kemudahan perhubungan yang lebih selesa serta membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Mangkong Tiang di Rumah Gani, Sungai Batu, Anap pada Sabtu.
Selain pembangunan infrastruktur, ujar beliau, MiRRDA turut memberi penekanan terhadap sektor pertanian menerusi bantuan tanaman kelapa sawit dan kopi sebagai usaha memperkukuh ekonomi rakyat serta meningkatkan pendapatan pekebun kecil di kawasan luar bandar.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru tuai rumah dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) supaya sentiasa aktif menghadiri program anjuran jabatan kerajaan agar masyarakat luar bandar tidak tercicir daripada menerima maklumat dan manfaat pembangunan yang disediakan kerajaan.
Dalam majlis tersebut, Edwin turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM24,000 kepada JKKK Rumah Gani serta tambahan RM5,000 kepada Biro Wanita Rumah Gani bagi menyokong pembangunan komuniti dan pelaksanaan aktiviti setempat.-EDISI UKAS