Premier Sarawak Mulakan Lawatan Kerja Dua Hari Di Singapura, Berucap Di Philanthropy Asia Summit 2026
SINGAPURA: Sarawak mengukuhkan keterlibatannya dalam agenda kelestarian global menerusi lawatan kerja rasmi selama dua hari Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg ke Singapura yang bermula hari ini.
Agenda utama lawatan Premier kali ini bagi menghadiri Philanthropy Asia Summit 2026 di mana beliau antara pemimpin yang akan berucap dalam sesi ‘The Public Agenda’ semasa sidang kemuncak tersebut di Sands Expo and Convention Centre, Marina Bay Sands, Singapura pada 18 Mei.
Dalam ucapannya nanti, Datuk Patinggi Abang Zohari akan berkongsi pengalaman Sarawak sendiri dalam memacu pembangunan ekonomi sambil mengurangkan intensiti karbon serta bagaimana penyelarasan dasar, kerjasama tenaga bersih rentas sempadan dan modal jangka panjang dapat digembleng bersama untuk mempercepat kemakmuran hijau.
Beliau juga akan menyentuh strategi Sarawak dalam menyelaraskan dasar, perundangan dan institusi di bawah satu visi jangka panjang yang menyeluruh — daripada Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) kepada Pelan Tindakan Kelestarian Sarawak, Dasar Peralihan Tenaga Sarawak, dan Pelan Hala Tuju Ekonomi Hidrogen Sarawak.
Dianjurkan oleh Philanthropy Asia Alliance, sidang kemuncak berlangsung dari 18-20 Mei itu menumpukan kepada inovasi Asia yang berpotensi untuk diketengahkan di peringkat global, serta kerjasama rentas sektor.
Ia menghimpunkan pemimpin dari sektor filantropi, perniagaan, dan kerajaan yang bersama meneroka bagaimana sains, teknologi, pembiayaan inovatif serta kerjasama rentas sektor dapat memacu penyelesaian berani dalam bidang iklim, kesihatan dan pembangunan inklusif.
Terdahulu sebelum menyampaikan ucaptama, Premier dijadual mengadakan pertemuan bersama Menteri Tenaga Manusia Singapura, Tan See Leng bagi mengukuhkan kerjasama strategik antara kedua negara.
Selain itu, beliau juga dijadual mengadakan mesyuarat berprofil tinggi bersama pihak Temasek Trust dan Equatic yang dijangka menumpukan kepada perbincangan berkaitan sektor tenaga dan pelbagai perkara lain.
Hadir menyambut ketibaan Premier di hotel penginapan ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi & Pembangunan) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Water Sdn Bhd Malseni Jamal dan Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Ts. Dr. Nurleyna Yunus. - EDISI UKAS