MULU: Kerajaan Sarawak terus komited membantu komuniti luar bandar melalui peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) apabila sebanyak RM442,000 disalurkan kepada 28 penerima dari kawasan Dewan Undangan Negeri(DUN) Mulu.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala berkata peruntukan MRP merupakan salah satu mekanisme penting Kerajaan Sarawak dalam memastikan bantuan dan pembangunan terus sampai ke peringkat akar umbi.
“Setakat Julai 2025, sebanyak RM2.984 juta telah diagihkan di bawah peruntukan MRP ADUN Mulu merangkumi 216 permohonan yang diluluskan.
“Ini membuktikan bahawa kerajaan bukan sahaja mendengar, malah bertindak terhadap keperluan rakyat, khususnya di kawasan pedalaman,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyerahan Cek Geran MRP Dewan Undangan Negeri (DUN) Mulu yang berlangsung di Pusat Khidmat DUN Mulu pada Isnin.
Bagi agihan pada majlis kali ini, antara penerima yang menerima geran termasuk Persatuan Sepak Takraw Miri, Persatuan Penduduk Long Atip, Kelab Sukan Highlanders, Persatuan Berawan Sarawak, AJKK Wanita Long Silat, PDK Sunflower Miri, Persatuan Alumni SMK Marudi serta Persatuan Ibu Tunggal Bario Miri merangkumi jumlah keseluruhan MRP yang diserahkan pada majlis ini mencecah RM64,000.00.
Dalam pada itu, Datuk Gerawat turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terus bekerjasama dengan Pejabat ADUN Mulu serta jabatan dan agensi kerajaan dalam menjayakan program pembangunan dan kebajikan rakyat.
Majlis ini turut dihadiri pemimpin-pemimpin masyarakat, pegawai kerajaan dan wakil-wakil penerima geran.-EDISI UKAS