Jambatan Baharu Rumah Lebong Luang Tingkat Akses, Jamin Keselamatan Penduduk
BINTULU: Kemudahan infrastruktur luar bandar terus diperkasa apabila projek pembinaan semula jambatan menuju ke Rumah Lebong Luang berjaya disiapkan di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2026, sekali gus meningkatkan akses dan keselamatan penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, projek bernilai kira-kira RM150,000 itu dilaksanakan susulan kerosakan jambatan asal akibat banjir pada 29 Januari tahun lalu, yang turut menyebabkan jambatan sementara sebelum ini roboh.
“Alhamdulillah, melalui RTP 2026, kita berjaya membina semula jambatan ini dengan struktur yang lebih kukuh demi keselesaan penduduk.
“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) serta kontraktor kerana berjaya menyiapkan projek ini mengikut tempoh ditetapkan,” katanya ketika ditemui media selepas meninjau projek siap jambatan di Rumah Lebong Luang, Sungai Terus, pada Khamis.
Menurut beliau, keadaan jambatan lama yang diperbuat daripada kayu dan berada pada paras rendah sebelum ini menyukarkan laluan penduduk, khususnya ketika air pasang dan banjir.
Jelasnya, hasil perbincangan bersama pihak DID, jambatan baharu itu dibina pada paras lebih tinggi bagi memastikan laluan kekal boleh digunakan dalam pelbagai keadaan cuaca.
Projek tersebut memberi manfaat kepada 62 pintu rumah panjang di kawasan berkenaan, selain memudahkan pergerakan penduduk ke kebun serta kemudahan asas lain, sekali gus menyokong kelangsungan aktiviti harian dan sosioekonomi komuniti luar bandar.
Usaha berterusan melalui RTP ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar, di samping memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.-EDISI UKAS