MINTRED Bawa Produk Tempatan Tembusi Pasaran Antarabangsa
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) buat julung kalinya menyertai MYFOOD Expo 2026 yang berlangsung dari 7 hingga 9 Mei 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sebagai usaha memperluas pasaran produk makanan dan minuman Sarawak ke peringkat nasional dan antarabangsa.
Penyertaan tersebut menyaksikan lapan usahawan dan syarikat Sarawak dalam industri makanan dan minuman diberi peluang mengetengahkan produk tempatan berasaskan sumber asli negeri ke pentas perdagangan yang lebih luas.
Antara produk yang dipromosikan termasuk kek lapis Sarawak serta pelbagai makanan dan minuman berasaskan terung asam, dabai, lada, sagu dan sacha inchi yang semakin mendapat perhatian pasaran.
Pameran berkenaan dianjurkan oleh Opulence Exhibition Services Sdn Bhd dengan sokongan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia, dan diadakan serentak dengan International Café & Beverage Show (ICBS).
MYFOOD Expo sebelum ini berjaya menarik lebih 13,000 pengunjung dari 55 negara selain disertai pakar industri antarabangsa, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai antara platform perdagangan makanan dan minuman terbesar di rantau ini.
Penyertaan MINTRED turut mendapat kerjasama beberapa agensi strategik termasuk Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED), Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Jabatan Pertanian Sarawak serta Persatuan Pengilang Sarawak.
Turut serta, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkasa usahawan tempatan. -EDISI UKAS