Insentif SPM Suntik Semangat Pelajar Cemerlang Terus Melakar Kejayaan
MIRI: Seramai 44 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Permaisuri menerima insentif sebagai galakan untuk melangkah lebih jauh dalam bidang pendidikan.
Majlis yang berlangsung di Dewan SMK Dato Permaisuri di sini disempurnakan oleh Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang.
Dalam ucapannya, beliau menzahirkan ucapan tahniah kepada semua pelajar atas kejayaan yang dicapai hasil usaha berterusan, disiplin tinggi serta ketekunan sepanjang tempoh pembelajaran.
“Di sebalik setiap keputusan cemerlang, terdapat pengorbanan, tekanan dan usaha yang tidak dilihat. Kejayaan ini amat bermakna dan wajar dibanggakan,” katanya ketika berucap dalam majlis itu di sini pada Khamis.
Beliau menegaskan bahawa pemberian insentif tersebut bukan sekadar bantuan kewangan, sebaliknya satu bentuk pengiktirafan terhadap komitmen pelajar dalam membina masa depan masing-masing.
Tambah beliau, pencapaian dalam SPM perlu dilihat sebagai titik permulaan kepada perjalanan yang lebih besar, sekali gus menggesa pelajar agar terus mengekalkan semangat kerja keras dan tidak mudah berputus asa.
Dalam pada itu, beliau turut mengetengahkan pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma atau Free Tertiary Education Scheme (FTES) oleh Kerajaan Sarawak sebagai inisiatif penting dalam memperluas akses pendidikan tinggi.
Menurutnya, pelaksanaan dasar tersebut mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan tiada anak Sarawak tercicir daripada melanjutkan pengajian hanya kerana kekangan kewangan.
“Manfaatkan peluang ini sebaik mungkin. Beranilah memasang impian yang lebih besar dan terus meningkatkan ilmu serta kemahiran diri,” ujarnya.
Beliau turut menekankan bahawa masa depan Sarawak bergantung kepada generasi muda berilmu dan berkemahiran, bukan semata-mata kepada sumber semula jadi.
Sehubungan itu, beliau berharap para pelajar yang melanjutkan pengajian sama ada di dalam atau luar negara akan kembali berbakti dan menyumbang kepakaran kepada pembangunan negeri.
Pada majlis tersebut, seorang pelajar mencatat keputusan cemerlang 9A, diikuti lima pelajar memperoleh 8A, tujuh pelajar (7A), lapan pelajar (6A), lapan pelajar (5A) dan 15 pelajar memperoleh 4A.
Turut hadir, Pengetua SMK Dato Permaisuri, Mary Wahab serta Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Halisa Abdul Talip.-EDISI UKAS