Persiapan Lan Berambeh Anak Sarawak 2025 Berjalan Lancar
KUALA LUMPUR: Segala persiapan bagi menjayakan Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) 2025 yang akan berlangsung pada Sabtu ini di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) kini berada pada tahap akhir dan berjalan lancar.
Tidak ketinggalan turun padang bagi melakukan persiapan akhir ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof.
Beliau meluangkan masa kira-kira sejam bagi meninjau persiapan di pentas utama dan reruai pameran yang giat disiapkan.
“Cuma kali ini cabarannya ialah LBAS 2025 bertembung dengan Sidang Kemuncak ASEAN. Jadi, dari segi logistik memang agak mencabar.
“Namun, Insya-Allah, semuanya akan dapat diuruskan dengan baik oleh sekretariat kita bersama pasukan sukarelawan,” ujar beliau ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan persiapan akhir.
Sementara itu, tinjauan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di lokasi mendapati kerja-kerja pemasangan reruai pameran, pentas utama, serta ruang interaktif telah hampir siap sepenuhnya dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan negeri, sekretariat penganjur, dan sukarelawan anak Sarawak di perantauan.
Menarik perhatian terdapat sebanyak 89 reruai pameran membabitkan 10 reruai bagi Kampung Kamek Pavilion dan 79 reruai untuk Pempamer Sarawak Dreams Exhibition.
Reruai Kampung Kamek Pavilion mempamerkan elemen sejarah, pembangunan semasa dan masa depan, budaya serta pemimpin
tempatan terlibat dalam koridor Pembangunan.
Tidak ketinggalan aspek keselamatan dan logistik turut mendapat perhatian rapi dengan kerjasama pihak MITEC dan pasukan keselamatan bagi memastikan keselesaan pengunjung sepanjang program berlangsung.- EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Muhammad Rais Sanusi