Sokongan Berterusan Terhadap Pembangunan Pendidikan Jadi Keutamaan
LIMBANG: Pembangunan pendidikan yang mampan terus menjadi keutamaan Kerajaan Sarawak dalam melahirkan generasi muda berilmu, berkemahiran serta berdaya saing tinggi selaras dengan keperluan masa depan dan pembangunan ekonomi negeri.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, pendekatan tersebut dizahirkan melalui pelbagai inisiatif berterusan termasuk pemerkasaan penguasaan dwibahasa, penambahbaikan sistem penilaian di peringkat sekolah rendah serta usaha memperkukuh minat pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Katanya, kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pendidikan juga perlu diperkasa seiring dengan usaha meningkatkan kualiti sistem pendidikan sedia ada.
“Kita bukan sahaja memerlukan sistem pendidikan yang berkualiti, tetapi juga kesedaran berterusan masyarakat mengenai kepentingan pendidikan untuk membentuk masa depan generasi muda,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri PIBG SK Melayu Pusat 2026, di sini, pada Selasa.
Beliau menegaskan bahawa bidang sains perlu diberi perhatian serius sebagai asas penting dalam melahirkan modal insan berkualiti, sekali gus menyokong aspirasi negeri ke arah pembangunan berteraskan teknologi tinggi.
Menurutnya, penekanan terhadap STEM perlu dipergiatkan memandangkan perkembangan pesat teknologi serta keperluan industri moden menuntut lebih ramai tenaga mahir dalam bidang berkenaan.
“Penekanan terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik perlu dipergiatkan kerana bidang ini menjadi pemacu utama kepada pembangunan industri berteknologi tinggi serta melahirkan tenaga mahir yang diperlukan di negeri ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa pendekatan pembelajaran yang lebih menarik, praktikal dan relevan dengan dunia sebenar perlu diperluaskan bagi meningkatkan minat pelajar terhadap STEM, agar mereka bukan sahaja memahami teori malah mampu mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian.
Mengulas lanjut, beliau berkata, walaupun pendidikan berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri tetap memainkan peranan signifikan dalam menyokong pembangunan pendidikan secara menyeluruh termasuk melahirkan lebih ramai pelajar berpotensi sebagai pemimpin masa hadapan dan tenaga pakar pelbagai sektor.
Pada majlis tersebut, beliau turut mengumumkan peruntukan tahunan sebanyak RM5,000 kepada PIBG SK Melayu Pusat serta RM30,000 bagi penyediaan televisyen pintar sebagai alat bantu mengajar.
Selain itu katanya, cadangan pembinaan laluan berbumbung akan dilaksanakan menggunakan peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) pada tahun hadapan.
Beliau berharap sumbangan tersebut dapat menjadi pemangkin kepada warga sekolah untuk terus meningkatkan kecemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum, sekali gus memperkukuh pembangunan modal insan di kawasan berkenaan.
Hadir sama wakil Pegawai Pendidikan Daerah Limbang, Mahani Montel, Penolong Kanan Pentadbiran SK Melayu Pusat, Norpiah Salleh, Yang Dipertua PIBG SK Melayu Pusat Limbang, Khairul Amree Abdul Rahman, Ketua Pegawai Perhubungan Sekolah PDRM Limbang, Dyg Diana Abg Ibrahim serta Penyelia KAFA Bahagian Limbang, Suhaini Abdul Karim.-EDISI UKAS