Kepimpinan Baharu SABERKAS Cawangan Bukit Kota Diseru Terus Perkukuh Peranan, Kesinambungan Usaha
LIMBANG: Kepimpinan baharu Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Bukit Kota bagi sesi 2026 hingga 2029 diharap mampu meneruskan kesinambungan usaha memperkukuh organisasi tersebut.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, barisan kepimpinan yang dipilih perlu memainkan peranan lebih proaktif dalam melahirkan generasi belia yang mampu menyumbang kepada pembangunan komuniti serta kemajuan negeri.
Ujarnya, peranan pertubuhan belia sebagai pemangkin pembangunan komuniti akan terus diperkasa melalui pelaksanaan pelbagai program berimpak tinggi yang menyentuh aspek kemasyarakatan, kebajikan serta pembangunan sahsiah generasi muda.
Menurut beliau, SABERKAS dilihat kekal relevan sebagai platform utama dalam membentuk belia yang aktif, berdaya saing dan berintegriti di peringkat akar umbi.
“Semoga barisan kepimpinan yang dipilih mampu membawa SABERKAS Bukit Kota ke tahap lebih cemerlang dalam melahirkan generasi belia yang berdaya saing dan memberi sumbangan kepada pembangunan komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Mesyuarat Agung Tritahunan SABERKAS Cawangan Bukit Kota bagi sesi 2026-2029 yang berlangsung di Dewan KEMAS Limbang, baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota turut menegaskan bahawa Sarawak bertuah kerana mempunyai kepimpinan negeri yang komited dalam merangka dasar pembangunan belia secara inklusif, meliputi aspek pendidikan, pembangunan kemahiran, keusahawanan serta pembentukan kepimpinan berkualiti.
Tambahnya, sokongan berterusan kerajaan negeri terhadap pertubuhan belia seperti SABERKAS menjadi faktor penting dalam melahirkan pemimpin muda berkaliber serta memastikan kesinambungan kepimpinan masa hadapan.
Mengulas potensi ekonomi setempat, beliau berkata Limbang mempunyai kelebihan strategik termasuk akses dua pintu masuk ke Brunei yang membuka peluang luas kepada masyarakat khususnya golongan belia untuk menjana pendapatan.
“Inisiatif di bawah program MINTRADE dan NRDA turut menyediakan ruang kepada belia untuk menceburi bidang keusahawanan seperti perusahaan makanan, inap desa dan kraf tangan.
“Selain itu, penggunaan platform digital seperti TikTok juga boleh dimanfaatkan sebagai medium pemasaran yang efektif dalam memperluaskan capaian produk ke pasaran lebih luas,” jelasnya.
Beliau turut menggalakkan belia meneroka sektor pertanian moden termasuk penanaman buah-buahan seperti durian, rambutan dan nanas, termasuk varieti Sarawak Gold 1 (SG1) yang kini disokong oleh kemudahan kilang pemprosesan di Miri bagi memperkukuh rantaian bekalan.
Dalam pemilihan tersebut, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail mengekalkan jawatan sebagai Pengerusi SABERKAS Cawangan Bukit Kota bagi sesi 2026-2029 selepas menang tanpa bertanding.
Sufian Mohat dilantik sebagai Naib Pengerusi 1 manakala Suhaimi Mohamad sebagai Naib Pengerusi 2 bagi sesi yang sama.
Turut hadir, Pegawai KEMAS Bahagian Limbang, Khairul Amree Abdul Rahman yang bertindak sebagai Pengerusi Sementara pemilihan jawatankuasa SABERKAS Cawangan Bukit Kota.-EDISI UKAS