UKAS Terus Perkukuh Peranan Sebagai Agensi Komunikasi Utama Kerajaan Sarawak
KUCHING: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) terus membuktikan keupayaannya sebagai agensi komunikasi utama kerajaan negeri yang berperanan besar dalam menyampaikan maklumat sahih dan tepat kepada rakyat sepanjang penubuhannya.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, kejayaan UKAS selama ini jelas menunjukkan bahawa agensi tersebut berada di landasan yang betul dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat.
“UKAS telah berjaya membuktikan bahawa kita menuju ke arah yang tepat dan menunjukkan bahawa UKAS berjaya memberi sumbangan yang besar kepada rakyat dan pembangunan Sarawak melalui tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat.
“Saya percaya bahawa kejayaan yang telah dicapai ini adalah berkat kerja kuat, dedikasi yang telah diberikan oleh semua dan dicapai hasil daripada integriti yang tinggi dalam kalangan warga UKAS,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan amanat sempena Hari Integriti dan Aspirasi UKAS di sebuah hotel terkemuka di sini pada Jumaat.
Datuk Amar Mohamad Abu Bakar menambah, sebagai agensi yang bertanggungjawab dalam bidang komunikasi, UKAS telah menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan dari semasa ke semasa, bergerak setapak demi setapak ke hadapan sehingga mampu berdiri seiring dengan organisasi media lain di Malaysia.
Dalam masa yang sama, beliau menyeru semua warga UKAS agar tidak mudah berpuas hati dengan pencapaian sedia ada, sebaliknya terus meningkatkan mutu perkhidmatan dan menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi komunikasi semasa.
Beliau juga menegaskan bahawa walaupun teknologi moden memberi banyak kemudahan dalam penyampaian maklumat, warga UKAS tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada teknologi atau media sosial semata-mata.
Turut hadir ialah Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan, pegawai-pegawai kanan UKAS serta warga kerja UKAS.-EDISI UKAS