Gerakan Koperasi Komponen Penting Pembangunan Sosioekonomi Negara
SERIAN: Gerakan koperasi kini menjadi antara komponen penting dalam pembangunan sosioekonomi negara, selain sebagai platform ekonomi rakyat serta pemangkin kesejahteraan masyarakat secara inklusif.
Ahli Parlimen Puncak Borneo merangkap Lembaga Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Datuk Willie Mongin berkata, peranan koperasi semakin signifikan dalam membuka peluang ekonomi kepada rakyat, termasuk golongan yang tidak mempunyai modal besar untuk memulakan perniagaan.
“Sehingga pertengahan tahun 2025, Malaysia mencatatkan lebih 16,000 koperasi berdaftar dengan keanggotaan melebihi 7.4 juta orang, membuktikan kepentingan sektor ini kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Turun Padang Ke Arah Memperkasa Koperasi Jom@Coop Siri Platinum IKMa 70 Tahun yang berlangsung di Roxy Hotel, Serian, pada Selasa.
Dalam masa sama, beliau menggesa koperasi agar terus berdaya tahan, inovatif dan berintegriti bagi memastikan kelangsungan serta daya saing dalam ekonomi semasa.
Program anjuran Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Zon Sarawak itu bertujuan mempromosikan pelbagai latihan, kursus serta program pembangunan koperasi yang akan dilaksanakan sepanjang tahun 2026.
Majlis tersebut turut menjadi sebahagian daripada sambutan 70 tahun penubuhan IKMa, yang terus komited memperkasa pendidikan dan latihan koperasi di negara ini. -EDISI UKAS