KUCHING: Semangat Aidilfitri terus menjadi pemangkin dalam memperkukuh muafakat serta kesepaduan kepimpinan Sarawak apabila Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi mengadakan kunjungan Hari Raya ke kediaman rasmi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Kompleks Satria Pertiwi pada malam Selasa.
Kunjungan tersebut bukan sekadar tradisi ziarah Aidilfitri, malah mencerminkan hubungan erat antara institusi kepimpinan negeri dalam suasana penuh muhibah, harmoni dan saling menghormati.
Ketibaan beliau berdua disambut oleh Premier Sarawak bersama anakanda, Dayang Norjihan Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari serta ahli keluarga.
Turut menyambut ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Timbalan Menteri Utiliti Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan PETROS), Datuk Ibrahim Baki serta Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi.
Kunjungan yang berlangsung kira-kira dua jam itu turut membuka ruang kepada pertukaran pandangan mengenai pelbagai isu semasa, sekali gus memperkukuh sinergi serta kesepaduan dalam kalangan kepimpinan negeri demi kestabilan dan kemakmuran Sarawak.-EDISI UKAS