RM5 Juta Diperuntuk Percepat Pembinaan Semula SK Sebako
LUNDU: Kerajaan terus komited mempercepatkan pelaksanaan projek pembinaan semula Sekolah Kebangsaan (SK) Sebako menerusi peruntukan sebanyak RM5 juta di bawah Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA), sekali gus memastikan kebajikan serta keselamatan pelajar sentiasa terpelihara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, usaha tersebut dipergiat melalui lawatan tapak serta perbincangan teknikal bersama agensi berkaitan bagi menilai perkembangan semasa projek berkenaan.
Menurut beliau, projek pembinaan semula itu amat signifikan dalam menyediakan kemudahan pendidikan yang lebih selesa, selamat dan kondusif kepada pelajar serta warga sekolah.
“Ketika ini, pihak Pejabat Pendidikan Daerah Lundu masih menunggu Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk melaksanakan penilaian dan pemeriksaan terhadap struktur bangunan sedia ada sebelum tindakan lanjut dapat diambil,” katanya ketika ditemui pada Selasa.
Beliau menjelaskan, bangunan lama SK Sebako sebelum ini hanya dibina semula secara sementara menggunakan bahan ‘Unplasticised Bitumen Board System’ (UBBS) kira-kira tujuh hingga lapan tahun lalu.
Namun, keadaan fasiliti tersebut kini tidak lagi memenuhi tahap keselamatan dan keselesaan yang sewajarnya, walaupun telah menjalani kerja-kerja penyelenggaraan seperti pengecatan semula.
Sehubungan itu, beliau berharap proses penilaian oleh pihak JKR dapat disegerakan bagi membolehkan projek pembinaan semula dilaksanakan dalam masa terdekat.
“Pelaksanaan projek ini amat penting bagi memastikan pelajar di kawasan ini dapat menikmati persekitaran pembelajaran yang lebih berkualiti, selamat dan selari dengan aspirasi pembangunan pendidikan kerajaan,” tegas beliau. -EDISI UKAS