Penjawat Awam Perlu Kekal Relevan Seiring Kemajuan Teknologi
KUCHING: Penjawat awam diseru untuk terus melengkapkan diri dengan kemahiran dan pengetahuan baharu agar kekal relevan dalam persekitaran perkhidmatan yang semakin dipacu teknologi.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, perkembangan pesat melibatkan kecerdasan buatan (AI), platform digital dan teknologi komunikasi moden menuntut penjawat awam untuk beradaptasi dengan segera supaya tidak ketinggalan arus perubahan.
“Kita mesti memastikan kita sentiasa relevan. Jangan sampai satu hari nanti kita tidak relevan.
“Dalam apa jua perubahan yang berlaku di dunia ini, dalam bidang perkhidmatan kita, dengan majunya AI, dengan majunya teknologi sosial media, kita tidak mahu kita ketinggalan.
“Kita tidak mahu sampai ke satu peringkat kita tidak lagi mampu bergerak seiring perkembangan teknologi dan masa,” katanya ketika menyampaikan amanat sempena Hari Integriti dan Aspirasi Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di sebuah hotel terkemuka di sini pada Jumaat.
Beliau menegaskan bahawa perubahan itu pasti berlaku termasuk perubahan pada diri manusia sendiri seiring perjalanan masa.
Katanya, pembangunan teknologi yang pesat menjadikan keperluan untuk kekal relevan lebih mendesak, dan penjawat awam harus melengkapkan diri dengan kemahiran baharu.
Datuk Amar Mohamad Abu Bakar turut menegaskan bahawa konsep 3R iaitu Revisit, Rethink dan Recharge sebagai pendekatan utama untuk memperkukuh prestasi dan memastikan setiap jabatan kekal relevan dalam penyampaian perkhidmatan.
Beliau menekankan bahawa setiap unit di bawah kerajaan termasuk UKAS mempunyai tanggungjawab masing-masing namun berkongsi matlamat yang sama iaitu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
"UKAS perlu terus menjadi agensi komunikasi kerajaan yang mampu bergerak seiring perkembangan teknologi serta memastikan semua maklumat yang disampaikan adalah sahih, tepat dan bertanggungjawab," ujarnya lagi.
Turut hadir ialah Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan, pegawai-pegawai kanan UKAS serta warga kerja UKAS.-EDISI UKAS