Kerja Berpasukan Asas Kekuatan Perkhidmatan Awam Sarawak, Elak Budaya Kerja Silo
KUCHING: Semangat kerja berpasukan terus menjadi asas kekuatan Perkhidmatan Awam Sarawak dengan semua agensi diseru untuk memperkukuh kerjasama dan bergerak sehaluan dalam memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih berkesan kepada rakyat.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, kejayaan sesebuah jabatan atau organisasi tidak lahir daripada usaha individu, tetapi merupakan hasil gabungan tenaga semua anggota yang menjalankan peranan masing-masing dengan komitmen dan kesungguhan.
Sehubungan itu tegasnya, setiap jabatan dan agensi kerajaan negeri harus mengelak daripada mengamalkan budaya kerja secara 'silo' sebaliknya memperkukuh kerjasama antara semua penjawat awam bagi memastikan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Sama ada anda pemandu, 'tea lady', cleaner, storekeeper atau pegawai kanan, semuanya menyumbang kepada kejayaan organisasi.
“Kejayaan sesebuah jabatan termasuk Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) bukan ditentukan oleh pegawai kanan sahaja, tetapi hasil usaha seluruh warga kerja,” katanya semasa menyampaikan amanat sempena Hari Integriti dan Aspirasi UKAS di sebuah hotel terkemuka di sini pada Jumaat.
Datuk Amar Mohamad Abu Bakar turut menegaskan bahawa pembentukan kelompok kecil dalam jabatan hanya akan melemahkan organisasi serta menjejaskan keberkesanan penyampaian perkhidmatan, sambil menyeru semua warga untuk bergerak sebagai satu pasukan dengan matlamat yang sama.
Tambahnya, peranan Ketua Jabatan amat penting dalam memupuk perpaduan dan memastikan semua anggota termasuk staf barisan hadapan, sokongan dan teknikal terlibat dalam proses membuat keputusan serta pelaksanaan tugas.
Dalam majlis sama, beliau turut menyampaikan Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) serta Sijil Prestasi Cemerlang 2024 kepada kakitangan UKAS sebagai pengiktirafan terhadap komitmen dan dedikasi mereka.
Turut hadir ialah Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan, pegawai-pegawai kanan UKAS serta warga kerja UKAS.-EDISI UKAS