DALAT: Daerah Dalat terus menunjukkan peningkatan memberangsangkan dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) apabila Gred Purata Daerah (GPD) berjaya diturunkan daripada 5.20 kepada 4.87 pada peperiksaan 2025, sekali gus menjadi pencapaian terbaik sejak 2009.
Selain itu, menurut kenyataan dikeluarkan semalam, peratus kelulusan bagi kategori Layak Mendapat Sijil (LMS) di Dalat turut meningkat ketara daripada 96.20 peratus kepada 98.43 peratus, mencerminkan keberkesanan usaha berterusan dalam memperkasa kecemerlangan akademik di daerah berkenaan.
Pencapaian tersebut hasil komitmen tinggi warga pendidik, kesungguhan pelajar serta sokongan padu komuniti setempat dalam memastikan kualiti pendidikan terus dipertingkatkan.
Dalam perkembangan sama, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dalat mencatat kejayaan apabila melahirkan seorang pelajar cemerlang yang memperoleh semua A dengan keputusan 6A+ dan 2A.
Sementara itu, dua buah sekolah iaitu SMK Agama Igan dan SMK Batang Igan berjaya mencapai 100 peratus LMS, manakala SMK Dalat dan SMK Oya turut menunjukkan peningkatan prestasi.
Pencapaian ini membuktikan keberkesanan pelbagai inisiatif pendidikan yang dilaksanakan di peringkat sekolah dan daerah dalam usaha meningkatkan pencapaian pelajar.
Sehubungan itu usaha akan diteruskan bagi memastikan momentum ini dikekalkan di Daerah Dalat pada masa akan datang.
Antaranya, Program Tuisyen di bawah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) wajar diteruskan bagi memastikan momentum kecemerlangan ini dapat dikekalkan secara berterusan.
Kerjasama erat antara pihak sekolah, komuniti serta agensi berkaitan diyakini mampu terus memperkukuh pencapaian akademik pelajar di Daerah Dalat pada masa akan datang.- EDISI UKAS