Kesedaran Rakyat Kunci Hadapi Ketidaktentuan Ekonomi Global
SARIKEI: Tahap kesedaran dalam kalangan rakyat perlu terus diperkukuh sebagai benteng utama dalam menghadapi cabaran ekonomi global yang semakin tidak menentu, khususnya melibatkan peningkatan kos tenaga yang memberi kesan langsung kepada kehidupan harian.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir Yusuf Abd Wahab berkata, masyarakat perlu lebih peka serta berdisiplin dalam mengurus kewangan dengan mengamalkan perbelanjaan berhemah bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup.
Menurut beliau, ketidaktentuan harga minyak di peringkat antarabangsa memberi kesan berantai kepada pelbagai sektor termasuk harga barangan asas dan kos perkhidmatan.
“Apabila harga tenaga meningkat, ia akan mempengaruhi keseluruhan rantaian ekonomi dan akhirnya memberi beban kepada rakyat,” katanya semasa menghadiri Majlis Gong Xi Raya di sini pada Rabu.
Beliau menjelaskan bahawa situasi berkenaan bukan sahaja memberi tekanan kepada isi rumah, malah menjejaskan peniaga serta industri yang bergantung kepada kos operasi yang stabil.
Sehubungan itu, katanya, amalan penjimatan tenaga dan pengurusan kewangan yang cekap perlu dijadikan budaya harian bagi memastikan kestabilan ekonomi keluarga terus terpelihara.
Selain itu tambahnya, kerajaan negeri dan Persekutuan terus melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mengawal kenaikan harga serta mengekalkan keseimbangan ekonomi semasa.
“Bagaimanapun, keberkesanan usaha ini memerlukan kerjasama semua pihak selain turut dipengaruhi faktor luaran seperti inflasi dan keadaan pasaran global,” ujarnya lagi.
Turut hadir, Pengerusi Majlis Daerah Sarikei (MDS), Kaunselor Stephen Wong Kie Yong dan Timbalan Pengerusi MDS, Kaunselor Misiah Abu Seman.- EDISI UKAS