UKAS Perkukuh Peranan Sebagai Agensi Komunikasi Rasmi Kerajaan Sarawak
KUCHING: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) komited untuk terus memperkukuh peranan sebagai agensi komunikasi rasmi Kerajaan Sarawak dalam menyampaikan maklumat yang tepat, sahih dan berimpak tinggi kepada rakyat.
Pengarah UKAS Awang Putrayusrie Awang Redzuan berkata, fokus utama UKAS pada tahun 2026 adalah memperkukuh strategi komunikasi kerajaan melalui pelaksanaan program turun padang, pengumpulan data strategik serta memperluas jaringan komunikasi dengan kementerian, jabatan, agensi dan komuniti di seluruh negeri.
“Untuk tahun 2026 kita amat sedia untuk program-program turun padang.
“Peranan UKAS akan jadi mencabar pada tahun 2026 dan UKAS akan terus mengukuhkan peranan sebagai agensi komunikasi rasmi kerajaan Sarawak melalui pelaksanaan program turun padang yang kita akan rancang pada tahun 2026.
“Beberapa program seperti kajian soal selidik inisiatif Kerajaan Sarawak, pengurusan pengumpulan data strategik, program lapangan, program komuniti serta perkongsian hebahan dasar polisi dan info yang melibatkan program-program di kementerian, jabatan agensi akan diteruskan pada tahun 2026 dan saya rasa pada tahun 2026 program akan melibatkan banyak sektor yang perlu kita bantu pada agensi-agensi yang memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan sempena Hari Integriti dan Aspirasi UKAS di sebuah hotel terkemuka di sini, pada Jumaat.
Hadir menyempurnakan majlis itu ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Sementara itu, Awang Putrayusrie turut mengumumkan bahawa portal rasmi UKAS kini siap sepenuhnya dan telah beroperasi mulai 1 November 2025.
Menurut beliau, portal ini dibangunkan sebagai salah satu langkah penting dalam memperkukuh penyampaian maklumat yang sahih, tepat dan mudah diakses oleh rakyat, selaras dengan agenda transformasi digital Kerajaan Sarawak.
“Portal ini menggabungkan semua bentuk komunikasi dan produk UKAS yang sebelum ini hanya disiarkan di media sosial seperti Facebook dan YouTube. Kini, semua bahan ini disimpan di bawah satu platform rasmi dan boleh dirujuk semula oleh semua pihak,” jelas beliau.-EDISI UKAS