Kerajaan Sarawak Terus Komited Perkukuh Sistem Pendidikan Negeri
JULAU: Kerajaan Sarawak terus komited memperkukuh sistem pendidikan negeri terhadap pembangunan modal insan menerusi pelbagai inisiatif dan peruntukan besar dalam bidang pendidikan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata, usaha ini selaras dengan matlamat kerajaan untuk melahirkan generasi muda yang berpengetahuan, berkemahiran dan mampu bersaing dalam era digital yang semakin mencabar.
“Kerajaan bukan sahaja membangunkan infrastruktur fizikal, tetapi turut memperkukuh pembangunan sumber manusia agar generasi muda Sarawak bersedia menghadapi perubahan dunia moden,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemuafakatan dan Perasmian Dewan Dato Rolland Duat Jubin di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Julau 2, di sini, pada Jumaat.
Tambahnya, Sarawak kini bergerak ke arah ekonomi berasaskan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan negeri tidak lagi bergantung kepada hasil pembalakan seperti dahulu.
Katanya, penubuhan jabatan baharu berkaitan AI oleh kerajaan merupakan langkah strategik untuk memperkukuh penyelidikan, inovasi serta persediaan menghadapi Revolusi Industri 4.0.
“Pembangunan teknologi baharu ini akan melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan memastikan Sarawak terus maju serta berdaya saing di peringkat global,” ujarnya.
Sebagai tanda sokongan terhadap usaha pendidikan di kawasan itu, Friday turut menyumbangkan RM10,000 kepada SMK Julau 2 bagi membantu pelaksanaan aktiviti sekolah.
Dalam pada itu, beliau menyeru ibu bapa merebut peluang besar yang disediakan kerajaan bagi memastikan anak-anak mendapat akses kepada pendidikan berkualiti bagi mengubah masa depan keluarga serta negeri ke arah yang lebih baik.-EDISI UKAS