Ibu Bapa Kunci Pembentukan Sahsiah & Kecemerlangan Akademik Anak
JULAU: Ibu bapa merupakan kunci dalam membentuk sahsiah dan kecemerlangan akademik anak-anak, yang menjadi asas kepada kejayaan mereka di sekolah dan masa depan yang lebih cemerlang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Dato Rolland Duat Jubin berkata, keberhasilan pelajar tidak hanya bergantung kepada sekolah atau guru semata-mata, tetapi bermula daripada perancangan rapi dan pengurusan keluarga yang baik di rumah.
“Kalau kita ingin maju ke hadapan, perubahan mesti berlaku. Di sinilah perubahan itu boleh bermula dalam keluarga,” katanya ketika merasmikan Dewan Dato Rolland Duat Jubin serta Majlis Permuafakatan SMK Julau 2 di sini, pada Jumaat.
Beliau turut menekankan bahawa ibu bapa perlu meluangkan masa bersama anak-anak, terutamanya dalam membentuk disiplin dan minat terhadap pembelajaran.
“Luangkan masa untuk mereka, beri masa untuk membaca. Tetapkan jadual harian… jam berapa mereka belajar, jam berapa mereka menonton televisyen.”
“Kalau anak-anak ada di rumah, jangan biarkan mereka leka dengan telefon bimbit. Ambil sekejap, simpan dahulu, dan pastikan mereka membaca buku terlebih dahulu,” ujarnya.
Tambahnya lagi, kasih sayang terhadap anak bukan bermaksud memanjakan, sebaliknya mendidik dengan peraturan dan pengurusan keluarga yang baik supaya mereka dapat membina jati diri dan masa depan yang cerah.
“Pengurusan keluarga ialah asas membentuk anak-anak sejak kecil. Apabila perancangan rapi dilaksanakan, anak-anak akan berjaya dalam pelajaran dan kehidupan,” tambahnya.
Selain itu, Rolland turut menekankan bahawa kejayaan sesebuah sekolah bergantung kepada pengurusan yang cekap, semangat kerja berpasukan, serta hubungan mesra antara guru dan pelajar.
Dalam majlis sama, beliau mengumumkan sumbangan RM50,000 bagi membantu menaik taraf lantai asrama SMK Julau 2.
Beliau berharap pengurusan yang baik dapat terus menyokong dasar dan matlamat sekolah ke arah mencapai status sekolah berasrama penuh pada tahun hadapan.-EDISI UKAS