Penduduk Meluan Bakal Nikmati Bekalan Air Bersih Lebih Baik
JULAU: Penduduk di Meluan dan kawasan sekitarnya dijangka menikmati bekalan air bersih lebih baik tidak lama lagi apabila Kerajaan Sarawak melaksanakan beberapa projek strategik bagi meningkatkan sistem bekalan air di kawasan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Dato Rolland Duat Jubin berkata, kerajaan negeri kini memberi perhatian serius terhadap masalah bekalan air yang menjejaskan penduduk, terutama di sepanjang Jalan KJD hingga ke Pekan Julau termasuk Nanga.
“Penduduk di kawasan ini sering menghadapi kesukaran mendapatkan air bersih, terutamanya ketika musim kemarau. Masalah ini juga menjejaskan aktiviti harian serta operasi sekolah seperti SMK Julau No.1 dan SMK Julau No.2,”ujarnya.
Sebagai wakil rakyat, beliau amat prihatin terhadap isu ini dan telah membawanya ke perhatian Premier, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, bagi mencari penyelesaian segera.
Hasil keprihatinan Premier, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan besar untuk pelaksanaan beberapa projek baharu bagi meningkatkan kapasiti sistem bekalan air di Meluan.
“Antara projek utama ialah pembinaan takungan air baharu bernilai RM25.6 juta, serta projek LED bernilai RM58 juta di kawasan Lasi, yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 20 rumah panjang, sebuah klinik dan satu sekolah.”
“Kerja-kerja pelaksanaan kini sedang giat dijalankan bagi memastikan penduduk mendapat kemudahan bekalan air yang lebih baik,” katanya.
Selain itu, beliau menambah inisiatif ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan rakyat luar bandar tidak terpinggir daripada menikmati kemudahan asas berkualiti dan menyokong kesejahteraan komuniti setempat.
Rolland turut menzahirkan penghargaan atas keprihatinan berterusan kerajaan negeri dalam meningkatkan taraf hidup rakyat luar bandar, sejajar dengan matlamat pembangunan seimbang.-EDISI UKAS