35 Pegawai JPS Sertai Bengkel Pembangunan Prosedur Kualiti MS ISO 9001:2015
BINTULU: Seramai 35 pegawai daripada pelbagai unit di bawah Jabatan Premier Sarawak (JPS) telah menyertai Bengkel Pembangunan Prosedur Kualiti MS ISO 9001:2015, Sistem Pengurusan Kualiti (SPK) Siri 2 yang berlangsung selama tiga hari bermula 5 hingga 7 November ini.
Bengkel berkenaan dianjurkan oleh Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU), Jabatan Premier Sarawak dengan kerjasama SIRIM Academy Sdn. Bhd. bertujuan memperkukuh pelaksanaan Sistem Pengurusan Kualiti (SPK) di agensi kerajaan.
Ia turut memberi pendedahan dan bimbingan menyeluruh berkaitan pembangunan prosedur kualiti merangkumi aspek tadbir urus, operasi dan sokongan selaras dengan keperluan piawaian MS ISO 9001:2015.
Sepanjang bengkel ini, para peserta diberi tumpuan terhadap pembangunan prosedur kualiti berdasarkan fungsi strategik di setiap unit sebagai usaha berterusan ke arah penambahbaikan sistem kerja.
Langkah ini dilihat penting bagi memastikan pelaksanaan prosedur kerja kekal relevan, efisien serta responsif terhadap perubahan semasa, di samping mematuhi garis panduan dan peraturan yang berkuat kuasa.
Inisiatif tersebut mencerminkan komitmen berterusan STIU dalam memperkukuh budaya kualiti dalam perkhidmatan awam negeri.
Ia juga membuktikan usaha berterusan kerajaan Sarawak untuk memastikan amalan pengurusan berteraskan piawaian antarabangsa terus diperkasa bagi menyokong penyampaian perkhidmatan yang cekap, berkesan dan memberi impak positif kepada rakyat. -EDISI UKAS