SMK Julau 2 Terima Sumbangan Besar Bagi Peningkatan Infrastruktur & Kemudahan Pelajar
JULAU: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Julau 2 menerima beberapa sumbangan penting bagi meningkatkan kemudahan pembelajaran dan infrastruktur sekolah, termasuk pemasangan skrin LED baharu dan pembinaan dewan terbuka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Dato’ Rolland Duat Jubin berkata, sumbangan ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan beliau terhadap pembangunan pendidikan di kawasan Meluan.
“Pada majlis ini, saya berbesar hati merasmikan skrin LED baharu bernilai RM50,000 yang kini digunakan bagi tujuan pembelajaran dan penyampaian maklumat di sekolah,” katanya pada Majlis Pemerkasaan Ibu Bapa dan Perasmian Skrin LED SMK Julau 2, di sini, pada Jumaat.
Selain itu, beliau turut membantu pihak sekolah dalam pembinaan sebuah dewan terbuka bernilai RM350,000 serta menyalurkan peruntukan bagi pemasangan bumbung dari pagar utama sekolah hingga ke dewan berkenaan.
Beliau juga mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM50,000 untuk kerja-kerja menaik taraf lantai asrama SMK Julau 2 pada tahun hadapan, bagi memastikan pelajar menikmati kemudahan yang lebih selesa dan kondusif.
Dato’ Rolland turut memuji SMK Julau 2 yang berjaya membangunkan pelan strategik berteraskan enam aspek utama pembangunan sekolah, iaitu akademik, kokurikulum, kepimpinan, infrastruktur, sahsiah pelajar serta keterlibatan komuniti.
Menurut beliau, usaha bersepadu ini akan membawa sekolah ke tahap lebih cemerlang pada masa akan datang.
“Saya mengucapkan tahniah kepada pengetua dan seluruh warga SMK Julau 2 atas kejayaan ini. Saya berharap kerjasama yang kukuh antara pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti akan terus dikekalkan demi kecemerlangan pelajar,” katanya.
Beliau menyeru semua pihak untuk berkerjasama dalam usaha mengekalkan SMK Julau 2 sebagai institusi pendidikan yang unggul dari segi akademik dan pembangunan sahsiah pelajar.-EDISI UKAS