CSSC Sibu Bukti Komitmen Kerajaan Perkukuh Sokongan Sosial Rakyat
SIBU: Hasrat untuk mewujudkan Pusat Sokongan Sosial Komuniti (CSSC) di Sibu akhirnya direalisasikan, menandakan satu lagi kejayaan penting Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Sarawak dalam memperkukuh jaringan kesejahteraan sosial rakyat.
Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah, berkata CSSC Sibu merupakan pusat kedua seumpamanya selepas Kuching, yang berperanan sebagai pusat sokongan sosial bersepadu kepada komuniti setempat.
Menurut beliau, cabaran utama dalam penubuhan pusat ini adalah mencari lokasi strategik yang mudah diakses masyarakat.
“CSSC mesti berada di tengah-tengah komuniti kerana matlamatnya ialah untuk menjadi tempat sokongan yang benar-benar dekat dengan rakyat,” katanya ketika merasmikan CSSC Sibu di sini, pada Jumaat.
Beliau berkata, CSSC Sibu dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk bilik mesyuarat dan bilik aktiviti yang boleh digunakan secara percuma oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ketua masyarakat serta agensi kerajaan untuk melaksanakan program sosial.
Selain itu, beberapa komponen penting turut diwujudkan di bawah CSSC Sibu termasuk bank makanan, ‘Safe Place’ dan ‘Soup Kitchen’ bagi membantu golongan memerlukan.
Jelas Dato Sri Fatimah, bank makanan akan berfungsi seperti pasar mini yang membolehkan keluarga berpendapatan rendah mendapatkan keperluan asas, manakala ‘Safe Place’ pula menjadi tempat perlindungan sementara bagi mangsa keganasan rumah tangga sebelum tindakan lanjut diambil.
Sementara itu, kementerian kini menunggu mana-mana NGO yang bersedia mengendalikan ‘Soup Kitchen’ bagi membantu golongan miskin bandar, sebagaimana model yang telah berjaya dilaksanakan di Kuching.
Dalam pada itu, Dato Sri Fatimah turut menjelaskan bahawa CSSC Sibu akan menjadi pusat intervensi susulan kepada gelandangan yang diselamatkan melalui Operasi Bersepadu Menyelamat Orang Papa dan Gelandangan di bandar ini.
“Mereka yang diselamatkan ini akan diprofilkan dan diberikan intervensi susulan di CSSC Sibu. Inilah kesinambungan antara Tempat Transit Gelandangan (TTG) dan CSSC, apa yang kita mula di lapangan akan diteruskan dengan pemulihan dan pemantauan di pusat ini,” ujarnya.
Hadir sama, Timbalan-Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Rosey Yunus dan Datuk Mohammad Razi Sitam, Setiausaha Tetap KPWK Datu Felicia Tan Ya Hua dan Residen Bahagian Sibu Mohammad Porkan Abang Budiman. -EDISI UKAS