Dewan Serbaguna Kampung Tutus Hilir Siap, Sedia Beri Manfaat Kepada Penduduk
MUKAH: Projek bina baru Dewan Serbaguna Kampung Tutus Hilir di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian bernilai RM500,000 kini siap sepenuhnya.
Hadir menyaksikan majlis penyerahan projek berkenaan ialah Pegawai Khas Pusat Khidmat DUN Balingian, Che Ghazali Arbi dan Penolong Jurutera, Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Mukah, Yazid Muztaba dan Nazreen Jamal.
Dalam pada itu, Ketua Kaum Kampung Tutus Hilir, Zaffarin Bohari menzahirkan jutaan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi kerana telah menyediakan infrastruktur untuk kemudahan penduduk kampung termasuk projek yang telah siap ini.
“Penduduk kampung di sini turut berasa gembira dan bersyukur kerana dewan ini telah siap sepenuhnya dan dapat digunakan untuk sebarang aktiviti di sini.
“Insya-Allah, dengan adanya dewan ini, aktiviti atau program kampung dapat dilaksanakan dalam keadaan yang selesa,” katanya.
Sementara itu, Che Ghazali yang mewakili Abdul Yakub berharap agar penduduk kampung dapat memanfaatkan kemudahan yang telah siap ini dengan sebaik mungkin.
Hadir sama, wakil Pejabat Daerah Mukah Nur Hidayah Kassim. -EDISI UKAS