Premier Sarawak Tiba Di Seoul, Hadiri Mesyuarat RISEAP Ke-36
SEOUL: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg tiba di Seoul, Korea Selatan untuk menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Majlis Dakwah Islamiah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP) Ke-36.
Pesawat khas membawa Premier Sarawak selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon kira-kira jam 9.25 malam Selasa (waktu tempatan).
Menyambut ketibaan beliau ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Ekonomi Dato Hanifah Hajar Taib, Setiausaha Kehormat RISEAP Dato' Mohamad Marzuki Mohamad Omar, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha dan Mufti Sarawak Datuk Kipli Yasin.
Pada Rabu, Premier Sarawak selaku Presiden RISEAP dijadual mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif RISEAP Ke-36 bertempat di The Plaza Seoul Hotel yang turut dihadiri beberapa negara anggota lain.
Antaranya Thailand, Singapura, Taiwan, Korea, Jepun, Australia, New Zealand dan Fiji.
Agenda mesyuarat antara lain menyentuh mengenai usul untuk melantik Timor Leste sebagai negara ahli RISEAP, pembentangan laporan kemajuan pejabat RISEAP di Kuching serta laporan aktiviti zon utara, tengah dan selatan serta Sayap Wanita bagi tahun 2025.
Selain itu, Premier Sarawak bersama exco lain juga dijangka membincangkan mengenai penetapan venue bagi Perhimpunan Agung RISEAP ke-21 2026 serta beberapa agenda mesyuarat lain yang memfokuskan usaha memperkasa komuniti Islam serantau dalam bidang dakwah mahupun pembangunan sosioekonomi.
Pada sebelah petang, Datuk Patinggi Abang Zohari dijadual menyempurnakan perasmian Tadika Persekutuan Muslim Korea (KMF), naik taraf Seoul Central Mosque dan Jabatan Halal KMF.
Beliau juga akan menyertai sesi taklimat ringkas bersama ahli-ahli KMF sebelum mengakhiri lawatan kerja dua harinya di sini.
Premier Sarawak dijadual kembali ke Kuching pada Khamis. - EDISI UKAS
Laporan oleh: Harry Ilias
Jurufoto: Ameerul Syafiq