KUCHING: Bintulu Port Hodling Berhad (BPHB) terus mengekalkan prestasinya sebagai pelabuhan utama Sarawak untuk tahun ini apabila mencatatkan jumlah pengendalian kargo sebanyak 38.3 juta tan setakat September 2025, melibatkan 5,649 kapal.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) Dato’ Roslan Abdul Ghani berkata, BPHB berdepan cabaran seperti penyelenggaraan gas asli cecair (LNG) dan gangguan cuaca namun terus mengekalkan daya tahan operasi yang kukuh serta kebolehpercayaan perkhidmatan yang tinggi.
"Masa pusing ganti kapal kami kekal sangat kompetitif, disokong oleh kadar ketersediaan peralatan hampir 90 peratus, yang mencerminkan komitmen berterusan kami terhadap kecemerlangan operasi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Bintulu Port Customer Centric Nite 2025 yang disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak merangkap Pengerusi BPHB Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki di sebuah hotel terkemuka, di sini pada Selasa.
Dato Roslan menambah, pelabuhan kini dalam proses melaksanakan Sistem Operasi Pelabuhan berteknologi tinggi iaitu sistem tercanggih di dunia yang sama digunakan di Pelabuhan Yangshan Fasa 4, Shanghai di China.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, Bintulu Port secara konsisten mengendalikan lebih 80 peratus daripada jumlah import dan eksport Sarawak setiap tahun, sekali gus menegaskan peranannya sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri serta penghubung penting ke pasaran antarabangsa.
"Selaras dengan peralihan landskap tenaga global ke arah kelestarian, kami bersedia memainkan peranan utama dalam sektor baharu seperti hidrogen hijau dan logistik tenaga boleh diperbaharui.
"Inilah bidang pertumbuhan baharu dan Bintulu Port bersedia sepenuhnya untuk mendukungnya," tegasnya.
Pada kemuncak majlis, BPHB turut memberi pengiktirafan kepada pelanggan dan rakan industri yang menunjukkan pencapaian cemerlang dalam 11 kategori utama, mencerminkan kepelbagaian industri dan perkhidmatan yang menjadi pemacu kepada ekosistem pelabuhan itu.