BINTULU: Laluan terus di tapak projek Jejambat Medan Jaya kini dibuka kepada orang ramai yang dijangka membantu mengurangkan kesesakan di kawasan terbabit.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, pembukaan laluan tersebut melibatkan perubahan aliran trafik termasuk lencongan baharu serta penggunaan lampu isyarat tambahan.
“Pengguna jalan raya perlu lebih peka dan berhati-hati kerana apa yang mereka lalui sebelum ini mungkin berbeza selepas ini,” katanya ketika melakukan tinjauan di lokasi pada Selasa.
Beliau menjelaskan, walaupun keadaan jalan di sekitar tapak projek masih dalam pembinaan dan mungkin kelihatan berserabut, laluan terus tersebut mampu melancarkan perjalanan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu menuju Kidurong.
“Walaupun ada jalan lurus, pemandu mesti mematuhi lampu isyarat yang telah dipasang. Laluan baharu mungkin lebih pendek, tetapi tetap perlu dipatuhi sebagaimana ditanda,” tegasnya.
Dalam pada itu, Johnny Pang turut menasihati pihak kontraktor agar mematuhi jadual kerja dan tidak menutup akses jalan yang diperlukan oleh pengguna.
“Jika ada dua akses, pastikan dua-duanya kekal dibuka. Jangan menyusahkan pengguna jalan,” ujarnya.
Pada masa sama beliau mengingatkan orang ramai supaya memandu dengan lebih cermat sepanjang tempoh penyesuaian aliran trafik baharu tersebut.-EDISI UKAS