Projek Naik Taraf Hutan Lipur Sebangkoi Hampir Siap
SARIKEI: Projek menaik taraf fasiliti di Hutan Lipur Sebangkoi kini hampir siap sepenuhnya yang mencatatkan kemajuan fizikal sebanyak 93.88 peratus, sekali gus mendahului jadual asal pelaksanaan sebanyak 32.96 peratus.
Ketua Bahagian Pewartaan dan Konservasi Jabatan Hutan Sarawak, Azahari Omar telah hadir mempengerusikan mesyuarat bagi membincangkan perkembangan semasa projek berkenaan di tapak projek pada Selasa.
Projek ini dilaksanakan melalui peruntukan Environmental Fiscal Transfer (EFT) yang disalurkan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam kepada Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak.Mesyuarat berkenaan turut dihadiri Timbalan Residen Sarikei, Badjuri Bidin dan bersama wakil dari pelbagai agensi berkaitan.
Ia antara inisiatif untuk memperkukuh kemudahan rekreasi serta memajukan sektor pelancongan hijau di daerah Sarikei.
Antara komponen utama yang dilaksanakan termasuk kerja pembersihan tapak, pembinaan laluan konkrit dan jambatan keluli sepanjang 25 meter, pembinaan empat unit tandas serta bilik mandi, pembaikan tiga unit gazebo sedia ada, pemasangan enam unit lampu kawasan, dan pembinaan rumah dua tingkat lengkap dengan tandas serta bilik mandi baharu.
Selain itu, papan tanda rasmi projek turut akan dipasang sebagai rujukan maklumat kepada pengunjung.
Dari aspek kewangan, projek berkenaan juga mencatat kemajuan kukuh iaitu 90 peratus, mendahului jadual sebanyak 30 peratus.
Dengan kos keseluruhan berjumlah RM570,679.50, projek ini dijangka siap sepenuhnya pada 12 Januari 2026
Selesai mesyuarat, rombongan turut mengadakan lawatan tapak bagi meninjau kemajuan kerja di lokasi.
Jabatan Hutan Sarawak yakin projek ini dapat disiapkan mengikut jadual dan bakal memberi impak positif kepada masyarakat serta pengunjung, sekali gus menjadikan daya tarikan pelancongan semula jadi.-EDISI UKAS